MEDIA pada awal tahun ini melaporkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi 2020 jatuh pada kedudukan ke-57 berbanding ke-51 pada 2019. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara yang disenaraikan dalam indeks itu, Malaysia mencatatkan skor 51 per 100 berbanding 53 peratus pada tahun sebelumnya. Untuk memberikan perspektif kedudukan Malaysia, Rwanda menduduki tangga ke-49 dan Poland ke-45.
Antara negara menduduki tangga teratas dalam CPI itu ialah jiran kita, Singapura. Pada ketika itu juga, Pejabat Perdana Menteri menekankan dasar kerajaan dalam memerangi gejala rasuah, meningkatkan tadbir urus dan komitmen dengan meneruskan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP 2019-2023).
Namun ternyata juga CPI tidak menyeluruh dalam menilai tahap ketelusan dan integriti sebuah kerajaan kerana banyak sekali aspek tidak diambil kira. Sebagai contoh, penilaian daripada Country Performance Assessment – Asian Development Bank, Sustainable Governance Indicators (SGI) – Bertelsmann Foundation, Country Performance and Institutional Assessment (CPIA) – World Bank dan Executive Opinion Survey – World Economic Forum (WEF) tidak diambil kira dalam pengiraan dan penilaian CPI Malaysia.
Kita harus faham, TI telah pun menyatakan di laman web bahawa indeksnya tidak mengukur tahap sebenar rasuah dan berusaha keras untuk menjelaskan bagaimana ia disediakan. Organisasi tersebut menekankan, ia berdasarkan persepsi ahli perniagaan dan pakar terhadap korupsi atau integriti di negara tersebut.
Sememangnya, CPI tidak jelas mengenai apa yang diukur, hanya persepsi. Tetapi wartawan serta ahli akademik sering memperlakukan indeks itu seolah-olah ia mengukur korupsi sebenar. Mereka dan rata-rata orang awam beranggapan persepsi tersebut sama dengan realiti. Namun persoalannya, adakah ini satu isu? Apakah persepsi korupsi atau realiti harus diambil kira dan penting bagi negara?
Dalam satu kajian oleh Benjamin Olken pada 2009 di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), jurang persepsi dan realiti yang besar mampu menekan penguasa serta pemimpin untuk lebih fokus ke arah membasmi korupsi dan seterusnya memahamkan kepada rakyat bahawa keadilan, ketelusan dan integriti itu terpelihara.
Sememangnya skor rendah Malaysia pada indeks tahun ini menarik perhatian media dan kalangan pendukung reformasi institusi. Secara langsung, ia memberikan tekanan yang luar biasa kepada pembuat dasar untuk bertindak.
SIKIT-SIKIT
Persepsi rasuah dalam entiti politik sama ada ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, lantikan politik dan seumpamanya akan menyumbang kepada demokrasi yang gagal. Kita faham, persepsi adalah bagaimana kita menafsirkan maklumat yang masuk ke dalam fikiran mengenai seseorang, objek atau peristiwa berdasarkan makna dan pemahaman dalam konteks keseluruhan. Di Malaysia, sekiranya ahli politik yang terbabit dalam skandal korupsi terus diangkat sebagai pemimpin, sudah pasti persepsi korupsi akan kekal walaupun mahkamah mendapati mereka tidak bersalah. Selagi mana ada pembangkang, isu itu akan dimainkan. Dan selagi mana ada penyokong, isu itu akan dipertahankan. Hasilnya, pertembungan dan perdebatan kedua-dua pihak berterusan. Pada masa sama, nama baik negara di persada dunia terus merudum dan ukuran kita di mata dunia hanyalah sebuah negara demokrasi yang gagal.
Melihat kepada ahli politik hanyalah satu aspek. Terdapat satu lagi aspek yang harus kita lihat iaitu nilai integriti diri kita. Persoalan yang harus di tanya ialah standard apakah yang mahu kita lihat pada pemimpin? Apakah boleh mengambil sikit-sikit asalkan jangan ambil banyak-banyak? Benarkah kalau satu atau dua kes tidak mengapa, asalkan kita lindungi antara satu sama lain? Juga, apakah betul kalau ada banyak kes pun tidak mengapa, asalkan pihak lain tidak berkuasa? Persoalan-persoalan seperti ini adalah penting kerana CPI juga mengambil kira input Bribe Payers Survey-TI.
Menurut satu kajian oleh Global Corruption Barometer 2017, Transparency International (GIACC), apabila ditanya, “pernahkah anda memberi rasuah kepada pegawai dalam tahun kebelakangan ini?” Sebanyak 23 peratus rakyat Malaysia menjawab, “ya.” Ini bermakna hampir satu perempat rakyat Malaysia berpotensi terlibat dalam rasuah.
Senario ini meletakkan tanda aras integriti masyarakat umum yang secara tidak langsung mempengaruhi pemilihan pemimpin negara.
Dalam satu kajian lain, apabila ditanya, “pegawai yang paling terlibat dengan rasuah berdasarkan peratusan responden?” Kita dapati pegawai polis menduduki tangga teratas (57%) dan pemungut hasil di tangga kedua (48%). Mereka bukan ahli politik mahupun pembuat dasar negara. Mereka adalah rakyat Malaysia sebagaimana saya dan anda semua!
Implikasi daripada gejala korupsi sama ada dalam kalangan rakyat yang memberi ataupun yang menerima telah mengakibatkan ketirisan sebanyak RM1.8 trilion apabila ia kehilangan melalui aliran kewangan tidak sah antara 2005 sehingga 2019. Ini sejumlah wang yang sangat banyak. Untuk menghadapi gejala ini, kerajaan memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 2004; Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 pada 2010; Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 pada 2012 dan NACP 2019-2023.
Pelbagai program lain dan agenda pemerkasaan institusi juga dilaksanakan termasuk penubuhan unit atau jabatan integriti di syarikat-syarikat serta perbadanan milik kerajaan.
Namun, negara ini tidak mampu mengorak langkah keluar dari kemelut atau cengkaman belenggu korupsi sekiranya kita tidak meletakkan tanda aras integriti bagi diri sendiri, diikuti tanda aras lebih tinggi bagi kelompok pimpinan negara. Singapura yang tidak mempunyai sumber jauh ke hadapan kerana nilai integriti yang mampan dan teguh. Tidakkah kita mahu menjadi negara yang gemilang?
Penulis ialah penceramah dan pendukung inisiatif kepemimpinan integriti nasional.










