CUACA panas selalu membuatkan tekak terasa haus. Minuman sejuk adalah antara yang menjadi pilihan untuk menyejukkan dan menyegarkan diri.
Bagi rakyat Malaysia, minuman manis seperti kopi ais semestinya menjadi pilihan untuk menghilangkan dahaga, dihidangkan pula dengan pekat dan lemak manis membangkitkan rasa aroma kopi.
Untuk kelainan, gabungan perisa kelapa atau santan dibancuh bersama kopi, dituang ke dalam gelas berisi ais adalah sesuatu yang baharu boleh dinikmati oleh pencinta kopi untuk memberi rasa lebih segar dan menaikkan mood.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Nespresso Malaysia, Floriane Novello berkata, sentuhan eksotik edisi terhad perisa kelapa bersama kopi ais memberi rasa yang tiada tandingan terutama apabila diminum ketika musim panas.
Katanya gabungan kopi ais dan kelapa dapat menyeimbangkan rasa karamel, espresso dan biji kopi Arabica Amerika Latin. Campuran sirap vanilla pula dapat memberi rasa yang lazat.
“Lebih mudah, menggunakan mesin kopi, Nespresso Atelier, pembuat kopi boleh membuat pelbagai resipi kopi ais mahupun panas seperti di coffee house,” katanya.
Ujarnya, untuk menambahkan rasa yang lebih pelbagai pada kopi, Nespresso memperkenalkan tiga perisa sirap jenama Monin bersaiz 50ml iaitu Vanilla, Tiki dan Saffron. Sirap ini mengandungi perasa daripada sumber semula jadi dan disediakan khas untuk meningkatkan rasa kopi.
Jenama itu turut memperkenalkan dua campuran kopi ais, Barista Creations For Ice iaitu Freddo Delicato dan Freddo Intenso.
Dalam pada itu, Nespresso tidak ketinggalan menyediakan resipi kopi ais bagi menepati selera pencinta kopi untuk mencuba dan membancuh sendiri di rumah.
Exotic Macchiato perisa kelapa ais
1. Letakkan tiga ketul ais ke dalam gelas. Kemudian tuangkan gula sirap atau Sirap Saffron bersama sepotong kulit limau nipis.
2. Tuangkan 100 ml susu lemak berkrim dan goncang sebati ke dalam shaker atau tekan butang ‘Iced Frappe’ jika menggunakan mesin Barista.
3. Campurkan susu ke dalam gelas, kacau sebati.
4. Kemudian, tuangkan 40 ml ekstrak perisa kelapa dan espresso ke dalam gelas.
5. Hiaskan kepingan isi kelapa kering di atas minuman.
Coklat Vanilla Ais
1. Tuangkan 10 gram gula sirap, 100 ml susu segar sejuk dan 110 g Vanilla milkshake ke dalam gelas dan kacau.
2. Gunakan satu kapsul (80ml) kopi perisa kelapa.
3. Tuangkan kopi ke dalam gelas dan tambahkan ais krim Vanilla, biskut kelapa dan serbuk coklat untuk rasa lebih berlemak.










