Emas sejenis mineral yang tidak asing dalam masyarakat kita di Malaysia. Batuan mineral ini dilombong, diproses dan ditempa menjadi pelbagai jenis bentuk dan kegunaan seperti barangan kemas, perhiasan, alatan industri termasuklah bahan makanan.
Sejak dulu lagi, negara mengalami kepesatan industri perlombongan emas sehingga pernah digelar Semenanjung Emas oleh para pedagang dari Greek dan India.
Pada waktu itu, perlombongan emas banyak dilakukan di kawasan Pahang dan Thailand. Beberapa negeri bertuah kerana dikurniakan kelebihan dari segi lokasinya yang terletak di Jalur Emas di sepanjang Semenanjung Malaysia.
Ini membuktikan Malaysia bukanlah pemain baharu dalam industri perlombongan emas ini.
Walau bagaimanapun, dengan isu kewujudan mineral emas yang semakin sukar ditemui terutama dalam tanah jenis aluvium, ia mendorong kepada keperluan dari segi tenaga pakar yang mahir dalam bidang geosains. Ia dengan menggalakkan inisiatif penerokaan mineral emas di dalam batuan keras.
Usaha sedemikian bergerak sejajar dengan keperluan negara terhadap tenaga pakar di dalam industri, pihak universiti dan institusi kajian meliputi bidang perlombongan dan pengkuarian.
Ini sesuai dengan matlamat dalam melaksanakan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030
Emas juga sangat laku dalam kalangan masyarakat yang membeli sama ada dalam bentuk jongkong, barangan kemas atau pemilikan saham dalam dana dagangan pertukaran sebagai instrumen pelaburan.
Kini, kepesatan industri yang melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kesedaran masyarakat terhadap kepentingan teknologi hijau telah membantu dalam meningkatkan hasil pengeluaran mineral emas.
Sumber ini amat diperlukan sebagai bahan utama dalam proses pembuatan alatan elektronik, cip komputer dan semikonduktor.
Mineral emas mempunyai kelebihan seperti bahan pengalir elektrik yang baik, mudah ditempa dan tidak mudah mengalami proses pengoksidaan atau pengaratan seperti mineral-mineral besi yang lain.
Sumbangan mineral emas juga dikenal pasti mempunyai manfaatnya yang tersendiri dalam kenaikan industri teknologi hijau iaitu penggunaan mineral emas banyak didapati dalam proses pembuatan sel bateri dan panel-panel solar.

Pemuliharaan alam sekitar
Kerajaan haruslah menetapkan garis panduan yang bersesuaian bagi para pengusaha lombong emas di negara ini.
Kesan aktiviti perlombongan terhadap alam sekitar memang tidak dapat dinafikan. Begitu juga dengan kesan daripada aktiviti-aktiviti perindustrian yang lain seperti pertanian, pembinaan dan eksploitasi sumber minyak dan gas.
Antara yang boleh dilakukan adalah usaha pemuliharaan bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar yang seharusnya bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan industri perlombongan emas dan sosio-ekonomi negara.
Sebagai contoh, bekas kawasan perlombongan boleh ditebus guna sebagai kawasan tadahan hujan, rekreasi air, kawasan tarikan pelancong dan juga memberi peluang kepada pembentukan habitat baharu untuk flora dan fauna.
Ia sebagaimana telah dibuktikan di kawasan seperti Tasik Mines di Selangor, Tasik Biru di Pahang dan Tasik Cermin di Perak.
Selain itu, air dari kawasan tadahan bekas lombong lelubang terbuka perlu dirawat terlebih dahulu sebelum boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Ini bagi mengurangkan kandungan mineral ke tahap yang lebih selamat.
Tanah juga perlu dipulihara bagi meningkatkan semula kesuburannya untuk pokok-pokok dan tanaman. Ini kerana tanah bekas lombong mempunyai tahap kesuburan yang rendah dan sistem penyerapan dan saliran air yang kurang baik.
Usaha yang bersesuaian seperti campuran bahan organik, kapur dan tanah lempung perlu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesuburan tanah.

Proses pembentukan emas
* Lokasi mineral emas dikaji dari proses pelonggokan mineral tersebut melalui sejarah pembentukan muka bumi setempat.
* Malaysia, khususnya di kawasan semenanjung, terbentuk daripada pertemuan antara dua blok benua, Sibumasu dan Indochina.
* Pertemuan antara dua blok tersebut menghasilkan geseran antara lapisan plat blok, meningkatkan tekanan dan suhu antara titik pertemuan dan berlakulah proses peleburan batuan yang dipanggil magma.
* Ketumpatan yang lebih rendah berbanding batuan di sekeliling menyebabkan magma yang panas. Ini menimbul dan merejah setiap lapisan bumi sehingga ke permukaan, membentuk gunung berapi. Malaysia bernasib baik kerana tidak lagi mempunyai gunung berapi yang aktif.
* Rejahan leburan batuan melalui lapisan tanah merembeskan ion mineral ke dalam kandungan air bawah tanah yang dipanaskan.
* Apabila air bawah tanah ini meresapi retakan di dalam lapisan subpermukaan dan mengalami proses penyejukan, ion mineral yang terkandung mula mencari antara satu sama lain, lalu termendak di antara retakan batuan tersebut.
* Retakan yang sebelumnya terisi dengan rongga air, kini terkandung kristal mineral pelbagai jenis, seperti kuprum, timah, sulfida dan emas.
* Para pengkaji dan pelombong berusaha mencari lokasi-lokasi yang berpotensi mempunyai struktur geologi ini dengan mengkaji dari sudut geofizik, geokimia dan sejarah pembentukan muka bumi di kawasan sekitar di Malaysia.
- Penulis adalah pelajar Sarjana Sains (Geofizik Kejuruteraan dan Persekitaran) dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi UKM.









