PETALING JAYA: Pendakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM1 juta dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah bersifat politik, dakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan, beliau mahu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhenti menyalahgunakan kuasa.
“Setiap kali sidang Parlimen semakin mendekat, kerajaan ini akan menggunakan atau memperalat apa saja aparat yang ada untuk membuli ahli-ahli Parlimen, berkemungkinan kerana gentar sekiranya undi tidak percaya dilangsungkan.
“Usaha-usaha jelek ini akan berterusan tanpa henti sebagaimana mereka masih lemah dan tidak punya majoriti yang cukup di Parlimen. Masa dan ketika tatkala YB Syed Saddiq didakwa ini sangat membingungkan dan menampakkan wujudnya salahguna kuasa,” katanya dalam kenyataan itu.
Anwar menggesa agar siasatan terhadap Syed Saddiq mesti dijalankan dengan telus dan profesional.
“Saya turut mahu beritahu pemimpin-pemimpin PN termasuk Perdana Menteri untuk hentikan salah guna kuasa serta terima hakikat secara bermaruah bahawa dukungan terhadap mereka semakin berkurangan di Parlimen,” katanya.
Kesalahan dilakukan bekas Ketua Armada itu di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.
Bagaimanapun, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan mohon dibicarakan. – UTUSAN ONLINE











