“Jenayah seksual bukan bahan gurauan. Sekiranya anak mengadu bahawa dirinya menerima kata-kata lucah, ibu bapa perlu segera mengambil tindakan,” kata Pengerusi Malaysian Against Pornography, Dr Shamsuriani Md Jamal.
Katanya perkataan seperti rogol atau menyamakan sesuatu dengan anggota sulit adalah antara bentuk ancaman seksual.
Perkataan sedemikian bukan suatu bentuk gurauan. Ibu bapa boleh membuat aduan kepada pihak berwajib.
Katanya, ianya samalah macam bunuh yang merupakan jenayah dan tidak pula dijadikan bahan gurauan.
“Lebih-lebih lagi rogol melibatkan maruah seseorang wanita.
“Jika seseorang wanita di bawah umur 18 tahun terganggu dengan gurauan tersebut, mereka perlu memberitahu orang yang mereka percaya dan hormat sama ada ibu bapa atau guru. Sekiranya bersekolah, mereka boleh memberitahu guru Hal Ehwal Murid (HEM) atau guru kaunselor,” katanya.
Kes jenayah seksual di negara ini dilaporkan kian meningkat, lebih-lebih dalam situasi ramai duduk di rumah, menatap telefon pintar akibat pelbagai perintah kawalan.
Pendedahan berleluasa terhadap bahan pornografi yang mudah didapati di telefon pintar memungkinkan ianya berlaku.
Tiada maklumat awal berkenaan jenayah seksual terhadap kanak-kanak turut menyebabkan mereka tidak tahu bahawa ia adalah merupakan suatu kesalahan.
Tips berhadapan dengan situasi ini.
• Jangan berdiam diri sebaliknya laporkan kepada ibu bapa atau orang boleh dipercayai.
• Tiada sesiapa boleh menjadikan rogol sebagai gurauan. Ini merupakan perlakuan yang tidak bermoral. Ia menunjukkan sikap yang tidak hormat pada individu yang lain.
• Tidak boleh dibiarkan dan mesti ditegur.











