Parlimen ada kuasa sekat ahli dewan tak ambil vaksin - Utusan Malaysia

Parlimen ada kuasa sekat ahli dewan tak ambil vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parlimen mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara untuk masuk ke institusi tersebut sekiranya tidak mengambil vaksin Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, sekatan itu boleh dilakukan sebagai langkah pencegahan daripada penularan wabak tersebut.

“Ini adalah soal kenegaraan dan kesihatan awam di bawah akta penyakit berjangkit 1988, jadi semua ahli parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu akur dan menjalani vaksinasi secepat mungkin. Sekiranya ia tidak dibuat, pihak berkuasa mungkin tidak membenarkan wakil rakyat itu hadir ke Parlimen.

“Walaupun kita setakat ini hanya menetapkan mereka perlu menjalani ujian saringan sahaja dan bebas Covid-19 sebelum masuk ke Parlimen, tetapi pihak Parlimen boleh mengambil tindakan sedemikian sebagai langkah mencegah penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, setakat ini jelas Rais, tiada laporan yang diterima berhubung wakil rakyat yang enggan mengambil vaksinasi.
Malah tegasnya, perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana seorang pemimpin harus menjadi contoh kepada rakyat.

“Kita sudah menyeru dari atas ke bawah untuk mengambil vaksin, tetapi jika ada wakil rakyat yang enggan berbuat demikian maka ia akan memberi gambaran yang negatif dan membawa risiko kepada masyarakat.

Menurut Rais lagi, ujian saringan Covid-19 untuk keseluruhan kakitangan Parlimen termasuk ahli Dewan Rakyat akan dibuat pada Ahad ini sebelum mula bersidang pada 26 Julai ini.

“Lebih 90 peratus mereka sudah divaksin, ada yang satu dos dan ada juga sudah dapat dua dos Dijangka esok (hari ini) akan lengkap dua dos oleh ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” ujarnya lagi.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.

Sementara itu, Mesyuarat Khas bagi Dewan Negara adalah selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×