‘Tengku Zafrul boleh menang tapi dengan syarat…’ - Raja Nong Chik - Utusan Malaysia

‘Tengku Zafrul boleh menang tapi dengan syarat…’ – Raja Nong Chik

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Wilayah, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengakui beliau hanya akan bertanding sekali lagi jika UMNO meletakkan calon yang bukan berasal dari Parlimen Lembah Pantai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau sebenarnya tidak bercadang untuk bertanding untuk kali ketiga di Parlimen Lembah Pantai kerana mahu memberikan laluan kepada calon lebih muda dan berkelayakan.

Namun, katanya, calon itu mestilah seorang berasal dari Lembah Pantai yang cukup memahami dan dikenali di kawasan tersebut.

“Saya kalau boleh nak bagi laluan kepada orang muda, kalau tidak susah orang muda nak naik. Kalau nak minta turun padang dan bagi sokongan, saya tidak ada masalah. Tetapi kalau pilih orang luar, pilihan raya akan datang saya akan bertanding.

“Saya sanggup bertanding calon bebas jika UMNO calonkan orang luar. Calon muda ramai, tak ada masalah untuk saya menyokong, terpulang kepada pucuk pimpinan parti, tetapi paling penting calon mesti orang Lembah Pantai,” katanya.

Ditanya ura-ura Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan bertanding di Parlimen Lembah Pantai, Raja Nong Chik menganggap Menteri Kewangan itu berpeluang untuk menang tetapi dengan bersyarat.

“Tengku Zafrul ada peluang untuk menang jika beliau mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN). Beliau memang orang Lembah Pantai, ibu bapanya pernah duduk di Bangsar dan beliau pun membesar di sana. Tetapi kalau nak bertanding, bertandinglah sebagai calon BN dan bukan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Bagaimanapun, Raja Nong Chik menganggap UMNO hanya boleh merampas kembali kerusi Lembah Pantai jika mereka bertanding dalam pilihan raya umum dengan kerjasama Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

“Dengan MN, peluang untuk UMNO menang lebih cerah. Pas pun mempunyai jentera yang kuat di Lembah Pantai. Tetapi kalau nak sokong PN ada risikonya, UMNO kena buat keputusan apa arah tuju parti.

“Kalau Pas sokong UMNO, peluang lebih cerah. Kalau tidak, peluang nak rampas balik kurang sikit. Kalau parti tidak kuat, kenalah bekerjasama supaya negara lebih stabil. Jangan biar tak tentu arah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×