ARAU: Husmizar Hussain, 41, dari Jalan Kolam, Kampung Alor Merah di sini yang sebelum ini buntu apabila kambingnya hanya mampu terjual sekitar 30 ekor kini menarik nafas lega apabila dalam tempoh tidak sampai seminggu dia berjaya menjual lebih 120 ekor kambing.
Malah inisiatif baharu yang diketengahkan dengan berniaga kambing secara dalam talian mendapat sambutan cukup hebat khususnya membabitkan pelanggan yang tidak dapat pulang ke Perlis.
Katanya, mereka memberi amanah kepadanya mengagihkan bahagian-bahagian kambing korban tersebut sempena sambutan Hari Raya Aidiladha Selasa ini kepada fakir miskin sekitar negeri ini.
“Alhamdulilah selepas tersiarnya berita mengenai inisiatif saya berniaga kambing korban di akhbar Utusan Malaysia minggu lalu, jualan saya mula meningkat daripada 30 ekor sebelum ini kepada lebih 120 ekor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada 6 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini, kambing peliharaan Husmizar hanya mampu terjual sekitar 30 ekor.
Tambah Husmizar, setakat ini, masih ada sekitar 30 ekor termasuk kambing kesayangannya seberat 100 kilogram sedia untuk dilepaskan kepada pelanggan.
“Bagi mereka yang ingin membuat tempahan masih boleh berbuat demikian dengan melayari laman Facebook saya, Husmizar Hussain atau Instagram, susukambingsegar.perlis atau terus menghubungi talian 013-4560789,” kata bapa kepada empat orang anak itu. – UTUSAN ONLINE










