A.V. Dicey, cendekiawan undang-undang yang terkenal menulis The Law of the Constitution (Undang-undang Perlembagaan) pada 1885, telah menjelaskan panjang lebar tentang kepercayaan beliau mengenai kesaksamaan secara keseluruhan di sisi undang-undang.
Beliau memberi pandangan bahawa Parlimen adalah paling berkuasa dalam persamaan pemisahan kuasa-kuasa dan kuasanya untuk menggubal undang-undang. Andaian ini suatu pandangan yang benar seperti hujahan Bagehot, yang memperkatakan dalam buku terkenal beliau, The English Constitution (Perlembagaan Inggeris) bahawa House of Commons di England adalah pemerhati Eksekutif dari segi penyalahgunaan kuasa dan salah urus kerajaan.
Sebuah Parlimen yang berkuasa, secara kebetulan boleh difahami sebagai badan perundangan, satu badan perundangan atau dua badan perundangan mengikut keadaan – yang sebahagian besar ahli-ahlinya adalah satu daripada satu parti tertentu atau daripada mana-mana parti dalam pakatannya. Kali terakhir ini boleh dilihat sebelum 9 Mei 2018 menerusi 14 anggota gabungan Barisan Nasional (BN) yang mengukuhkan sistem kerajaan dan politik di seluruh negara sejak kemerdekaan lagi.
Dan bergantung kepada parti-parti politik yang menganggotai Parlimen juga, bahawa cawangan penting kerajaan dalam teori boleh mengambil langkah untuk cuba mengubah kerajaan melalui undi tidak percaya. Hal ini belum pernah berlaku di Malaysia atau Singapura. Namun di negara-negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, India, Itali dan tempat lain yang kumpulannya terdiri daripada ahli-ahli Parlimen, telah lama menggunakan tindakan undian tidak percaya dari masa ke masa. Ia suatu langkah untuk mengimbang balik politik mereka yang bermajoriti mudah di dalam perundangan mereka.
Cuma, boleh dirumuskan dengan hal berkaitan ini, keadaan ‘sindrom’ mengikut pemimpin yang ada dalam politik Malaysia masih lagi berpengaruh.
Hang Tuahisme: Melayan kehendak ketua?
APAKAH ketokohan Hang Tuah itu diberi perwajahan kesempurnaan yang tidak menepati hakikat dan diromantiskan? Sebenarnya, jika ditinjau dari segi falsafah feudal, yang merupakan konteknya yang sebenar, tokoh Hang Tuah mewakili pandangan golongan pemerintah terhadap masyarakat Melayu. Ketokohan Hang Tuah sebenarnya mewakili falsafah atau etika yang dianjur golongan pemerintah buat orang Melayu.
Dalam pengertian ini tidak salah jika kita memperkatakan satu bentuk pandangan hidup atau falsafah yang dapat diistilahkan Hang Tuahisme. Sebagai satu bentuk akhlak atau etika, Hang Tuahisme menganjurkan ciri-ciri berikut:
a) memastikan individualisme, keinsaniah dan kesedaran dalam diri sendiri.
b) Membasmikan pengertian salah betul mengikut ukuran nilai-nilai sejagat dan mutlak serta memastikan hati nurani.
c) Berdasarkan salah betul mengikut kehendak dan keselesaan ketua secara relatif atau nisbi dan tidak mengikut nilai-nilai luhur dan hakiki.
d) Mengasaskan harga diri bukan mengikut akhlak sejagat seperti tertera dalam falsafah agama tetapi kepada penerimaan atau penolakan ketua.
Berasa hina jika tidak disenangi ketua dan berasa mulia dan bangga jika diredai ketua, tidak mengira apa isu dan persoalannya.
e) Membutakan mata dan hati terhadap kebenaran, keadilan masyarakat dan perjuangan menegakkan hak-hak asasi kemanusiaan. Segala tenaga, usaha dan potensi diri wajib dicurahkan kepada kehendak dan keselesaan ketua.
f) Pengertian kehidupan atau kewujudan itu sendiri ditafsirkan sebagai melayani sepenuhnya segala kehendak dan kepentingan ketua, dengan mengetepikan sebarang pertimbangan kebenaran, dapatlah dianggap Hang Tuahisme sebagai satu bentuk korban manusia dalam bentuk falsafah.
Ten Commandments
SETAHUN lebih ini tempoh cukup sukar. Tugas Jemaah Menteri dan pegawai tinggi kerajaan kian mencabar musim pandemik Covid-19 ini.
Ketika rakyat kini menjadi pemerhati, pendengar dan penilai yang tegar terutama dalam kalangan netizen, harus dijaga tingkah laku serta tindak tanduk. Ungkapan yang hendak dikeluarkan serta lagi penting lagi, keperibadian diri dan keluarga perlu sentiasa dalam kewaspadaan.
Sesekali menteri-menteri, timbalan menteri dan pegawai tinggi kerajaan ambil iktibar peristiwa-peristiwa masa lalu. Ambil masa renung dan hayati kisah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memulakan hari pertama beliau melangkah masuk mesyuarat Kabinet selepas menggantikan Tun Hussein Onn pada Jun 1981.
Sambil mengeluarkan sebuah buku nota kecil, Dr. Mahathir memulakan agenda hari itu dengan memberi syarahan pengenalan ringkas apa yang boleh dan tidak boleh, seperti “Ten Commandments” kepada menteri-menteri di Kompleks JPM, Jalan Dato’ Onn.
Antaranya, jangan menggunakan pengaruh kementerian mendapatkan sesuatu untuk saudara-mara, kroni, apatah lagi untuk diri sendiri. Jangan menunjukkan kekayaan mereka. Dalam hal ini, isteri-isteri tidak boleh kelihatan menonjol dengan berlian, barang kemas dan kemewahan.
Para menteri harus mempelajari kemahiran asas pengurusan supaya kementerian di bawah tanggungjawab masing-masing boleh berjalan lancar seperti sebuah syarikat yang cekap.











