Utusan Malaysia dekat di hati - Utusan Malaysia

Utusan Malaysia dekat di hati

Peluang menulis dalam Utusan Malaysia merupakan satu pengalaman tidak ternilai buat penulis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akhbar Utusan Malaysia amat dekat di hati saya. Sejak kecil saya melihat arwah atuk membaca akhbar Utusan Malaysia dan akhbar Jawi, Utusan Melayu. Sebagai pembaca setia, hari atuk seolah-olah tidak lengkap jika tidak dapat membaca kedua-dua akhbar utama itu.

Sejak peringkat permulaan belajar membaca, saya pilih Utusan Malaysia. Walaupun tidak dapat memahami kebanyakan berita yang dibaca, saya tetap seronok.
Peranan Utusan Malaysia begitu besar dalam sejarah pembangunan negara sejak dahulu lagi. Ramai nama besar dalam dunia penulisan, kewartawanan dan politik bermula daripada akhbar ini.

Akhbar ini juga memainkan peranan utama sebagai pencetus semangat nasionalis Melayu. Utusan menjadi badan penting dalam usaha menggerakkan penentangan terhadap Malayan Union. Namun sayangnya, akibat alpa akan sejarah negara, jasa dan peranan besar Utusan sering diremehkan oleh generasi saya.

Keputusan Utusan Malaysia menghentikan operasinya pada 2019 menjadi satu titik hitam yang amat memilukan. Tidak pernah saya bayangkan akhbar ulung penggerak nadi semangat kebangsaan ini akhirnya rebah. Perasaan sedih pada saat itu saya abadikan dalam sebuah sajak bagi mengekspresikan satu sejarah yang pahit.

Penerbitan semula Utusan Malaysia pada 20 Julai tahun lalu begitu mengujakan saya. Lebih istimewa, saya diberi peluang menulis dalam akhbar ini. Ia merupakan satu penghargaan besar bagi saya. Tidak dapat saya gambarkan betapa bersyukur dan gembira saat pertama kali melihat kolum saya tertera di dada akhbar.

Pengalaman menulis dalam Utusan Malaysia sememangnya tidak ternilai harganya. Ia membuka peluang untuk saya belajar memperbaiki diri dalam bidang penulisan. Bukan mudah untuk menghasilkan tulisan yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat.

Sebagai penulis muda yang cetek pengalamannya, saya menganggap peluang belajar daripada guru-guru yang hebat dalam bidang ini sebagai rezeki yang sangat berharga.

Kini, hampir genap setahun Utusan Malaysia diterbitkan semula. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh warga Media Mulia Sdn. Bhd. di atas pencapaian ini.

Hari ini, persaingan dalam bidang media begitu sengit. Bukan mudah untuk bersaing dan pada masa sama mengekalkan sikap integriti dan amanah dalam menyampaikan berita.

Terima kasih Utusan Malaysia!

PENULIS ialah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×