PENGGUNAAN dan sebaran vaksin di seluruh dunia menimbulkan beberapa isu yang menggambarkan ketidakseimbangan meruncing antara negara maju dan membangun, hatta masyarakat sejagat. Malah dalam satu-satu negara dan masyarakat tertentu mempunyai masalah saksama dan tidak seimbang. Maka timbullah slogan demokrasi vaksin sebagai satu prinsip yang menyamaratakan penggunaan dan sebaran kepada semua yang berhak menerima, sekali gus mempunyai hak untuk memilih vaksin mengikut kesesuaiannya. Seperti kefahaman demokrasi umumnya, nilainya adalah untuk menghormati hak-hak peribadi individu dalam menjaya kemaslahannya sendiri.
Ini sekali gus bersesuaian dengan hukum fatwa yang dikeluarkan negeri masing-masing mahupun di peringkat Persekutuan. Yakni bersifat harus, bermaksud tiada paksaan atau mewajibkan penerimaan mana-mana jenis vaksin kepada individu atau kelompok berasas pilihan tertentu – politik, kaum dan sebagainya. Ini juga sesuai dengan syor daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tidak menggalakkan apa-apa bentuk paksaan dalam hal ini.
Namun demikian, unsur-unsur berbaur paksaan tidak dapat tidak terkesan dalam pelaksanaan suntikan vaksin secara pukal sama ada disedari atau tidak. Dengan menyuruh rakyat mendaftar bagi mendapat satu-satu jenis vaksin adalah contoh terbaik. Apalagi selepas ini mereka tidak boleh menarik diri tanpa menghadapi risiko tertentu daripada pihak berwajib. Apatah lagi jika mereka yang terlibat tidak mendapat pendedahan tentang proses ataupun maklumat terkini untuk membolehkannya membuat keputusan terbaik bagi diri dan kesihatan masing-masing.
Kemudian disuruh pula menandatangani borang tertentu sebagai pengesahan yang keputusan diambil adalah terbaik untuk dirinya. Sayugia diingatkan, dalam semua proses melibatkan suntikan vaksin setakat ini, pihak lain tidak bertanggungjawab ke atasnya – baik kerajaan mahupun pembuat vaksin melainkan penerima itu sendiri. Ini menjadikan hak demokrasi vaksin menjadi lebih penting lagi bermakna untuk difahami secara mendalam dan diamalkan secara telus.
Jika pada awal-awal memperkenal suntikan kepada masyarakat umum sekitar penghujung tahun lalu, pilihan vaksin benar-benar terhad kepada satu atau dua jenama sahaja. Kini keadaan banyak berubah. Sekurang-kurangnya lima jenama dipelopori oleh industri ataupun kerajaan tertentu mewakili pelbagai jenis untuk dipilih ramai. Seperti kita memilih jenis ubat batuk misalnya, jadi mengapa tidak vaksin? Sebabnya kerana wujud ‘perlumbaan’ untuk menawan pasaran vaksin seluruh dunia dengan pelbagai helah dan langkah sama ada ‘halal’ atau sebaliknya.
Maka apabila dilaporkan baru-baru ini seorang pelakon dan pengacara sensasi, Ifa Raziah dikecam hebat netizen gara-gara bertindak membatalkan janji temu vaksinasi, timbul beberapa tanda tanya, apa yang telah terjadi kepada kefahaman demokrasi vaksin yang disebutkan di atas? Melalui video yang tular di media sosial, ada cubaan menafikan yang keputusan itu ada kena mengena dengan memilih jenis vaksin. Mengikut penjelasan yang diberikan, pembatalan niat mengambil vaksin disebabkan kekeliruan dan salah faham di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
“Miss Diva terpaksa batalkan vaksin hari ini (hari berkenaan) kerana tidak dapat suntikan Pfizer di MITEC. Bukannya mengada-ngada tak mahu ambil vaksin,” tulis beliau.
CHINA
Pada hantaran media sosial lain, dikatakan beliau bukan sengaja bertindak sebegitu tapi memandangkan vaksin jenis Pfizer sahaja diyakini sesuai dengan dirinya yang mempunyai masalah kesihatan. Maka tindakan yang diambil amat bersesuaian dengan demokrasi vaksin yang dianjurkan kerana seperti disebut, penerima bertanggungjawab atas keputusan yang diambil memandangkan ‘kesesuaian’ kepada ‘masalah kesihatan’ dihadapinya.
“Itu hak kita nak ambil atau tak walaupun sudah disediakan oleh kerajaan dalam aplikasi MySejahtera, tepuk dada tanya selera.
“Cuma setahu saya kalau di MITEC, mereka akan bekalkan penerima dengan vaksin Pfizer. Tapi, jadi lain pula apabila saya nak Pfizer dan diberi Sinovac,” tambahannya lagi.
Sedangkan kedua-dua jenis suntikan ini mempunyai perbezaan agak ketara antara satu sama lain. Setakat ini, Sinovac (buatan China) tidak diiktiraf oleh negara jiran, Singapura, apatah lagi di negara-negara maju di Barat yang lebih cenderung dengan vaksin buatan negara mereka khususnya Pfizer.
Kemujaraban antara satu dengan yang lain juga berbeza-beza bergantung pihak yang menilai dan masih kabur-kabur umumnya. Namun di Malaysia, penerimaannya berlainan sekali apabila Sinovac diberi kebenaran membotolkan vaksin itu secara besar-besaran oleh sebuah kilang ubat tempatan. Mengapa ini berlaku adalah antara faktor yang membuatkan demokrasi vaksin sebagai satu prinsip lebih membantu bagi melindungi pengguna daripada terjebak dengan percaturan yang tidak berasaskan fakta kesihatan serta boleh mengelirukan ramai.
Terbaru, kekecohan menyebut Spanish flu sebagai Spanish fly adalah satu contoh yang boleh menentukan soal hidup-mati seseorang. Sedangkan Spanish flu adalah jangkitan yang membunuh, Spanish fly adalah sejenis ubat kuat yang tidak ada apa-apa khasiat kesihatan, malah sebaliknya! Tanpa kefahaman demokrasi dalam hal-hal seperti ini sudah tentu akan membawa padah.
Oleh itu, apa yang pasti adalah tindakan berani Ifa atas kefahaman dan amalan demokrasi sebagai pemberat kepada kesihatannya serta menekan lagi unsur harus bagi memahami dan melaksanakan fatwa dalam erti kata sebenarnya sesuai dengan menegakkan syiar Islam. Sungguhpun masih ramai orang yang belum mendapatkan tarikh janji temu untuk divaksin, keperluan sebenarnya tidak boleh diketepikan, apa lagi jika dipaksa atau diwajibkan (tanpa pilihan) melawan fatwa yang telah ditetapkan.
Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










