Kita dikejutkan dengan kenyataan pertambahan kes bunuh diri yang semakin membimbangkan. Terbaharu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sebanyak 1,738 kes bunuh diri dicatatkan sejak 2019 hingga Mei lalu.
Jumlah itu melibatkan 609 kes untuk tahun 2019, 631 (2020) dan 498 pada Januari hingga Mei 2021. Adapun kebanyakan mangsa adalah berusia 15 hingga 18 tahun, iaitu 872 orang. Manakala lingkungan umur antara 19 hingga tahun pula seramai 668 orang. Berdasarkan jantina pula dilaporkan ia melibatkan 1,427 wanita dan 281 lelaki.
Perkara yang hampir sama pernah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Contohnya, pada tahun 2018, dilaporkan kes membunuh diri dalam kalangan pelajar sekolah makin membimbangkan.
Ia apabila remaja seawal usia 13 tahun disahkan mempunyai kecenderungan atau merancang untuk berbuat demikian.
Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017, Kementerian Kesihatan mendedahkan, 11.2 peratus remaja dalam kelompok itu mempunyai idea untuk membunuh diri, sembilan peratus merancang untuk bunuh diri dan 10.1 peratus melakukan cubaan untuk bunuh diri.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana apa yang dilaporkan mutakhir ini membuktikan kajian yang dibuat sebelum ini.
Dalam konteks agama, Islam mengharamkan perbuatan membunuh. Apatah lagi membunuh diri. Allah SWT berfirman: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (al-Nisa’: 29)
Membunuh termasuk dalam tujuh dosa besar sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW: Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan. Baginda ditanya: Apakah dosa itu wahai Rasulullah? Baginda berkata: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina. (Riwayat Muslim)
Beberapa kepercayaan lain juga menganggap membunuh adalah perbuatan terlarang dan menghukum mati ke atas pembunuh.
HARAM BUNUH DIRI
Dalam Islam bukan sahaja perbuatan membunuh atau membunuh diri, malah perbuatan membenarkan diri terjerumus kepada kebinasaan juga diharamkan.
Ini ditegaskan menerusi firman Allah SWT: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (al-Baqarah: 195)
Perkara yang lebih membimbangkan adalah kumpulan yang terlibat dengan membunuh diri adalah golongan muda yang akan mewarisi negara.
Mengikut laporan Kementerian Kesihatan, sejak tahun 2008 purata satu hingga dua kejadian bunuh diri dilaporkan berlaku di Malaysia setiap hari. (Statistik Pendaftaran Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia bagi tempoh 2008 hingga 2010)
Purata ini telah berganda kalau merujuk kepada laporan terkini daripada pihak PDRM. Laporan tersebut hanya berdasarkan kes bedah siasat manakala statistik sebenar berkemungkinan lebih tinggi.
Laporan terkini lebih membimbangkan, apatah lagi negara kita masih bertarung dengan pandemik Covid-19.
Berdasarkan rujukan daripada laporan-laporan sebagaimana yang dinyatakan di atas, antara perkara utama yang mendorong kepada perbuatan membunuh diri ialah faktor biologi, sosio-ekonomi, budaya dan persekitaran, dengan faktor kemiskinan dan kegagalan akademik.
Faktor psikologi atau psikiatri seperti kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan ubatan, alkohol dan gangguan personaliti turut mencetus kepada perlakuan bunuh diri.
Ini berdasarkan Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017, yang didedahkan Kementerian Kesihatan. Laporan itu juga melibatkan golongan remaja seawal usia 13-17 tahun.
Dalam laporan terkini oleh PDRM, tiga faktor utama yang menyumbang kepada perbuatan membunuh diri ialah situasi masalah keluarga, tekanan perasaan dan masalah kewangan.
Bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan memandangkan situasi sekarang yang kita semua maklum.
Malah, perkara ini bukan sahaja berlaku di negara kita, bahkan di seluruh dunia. Untuk menyelesaikan masalah ini atau paling tidak mengurangkan kes bukanlah sesuatu yang mudah.
Asas yang paling ampuh ialah dengan merujuk kepada ajaran agama yang murni.
Asas utama dalam agama ialah dengan menerima dan redha dengan apa yang berlaku dalam kehidupan kita ialah mengikut ketentuan Allah SWT.
Pastinya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dalam kehidupan kita sama ada musibah dalam keluarga, tekanan rumah tangga ataupun masalah kewangan.
Allah SWT berfirman: Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (al-Baqarah: 155-156)
Menerima takdir Allah SWT dengan reda adalah penawar yang paling ampuh. Tegasnya, dalam menangani kes seperti ini memerlukan penglibatan semua pihak terutamanya daripada kalangan ahli keluarga terdekat.
Mangsa yang terlibat membuat keputusan untuk membunuh diri perlukan perhatian daripada keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam menangani masalah-masalah seperti biologi, psikologi, sosio-ekonomi, mental dan sebagainya.
Jika mereka mendapat nasihat, perhatian dan bimbingan yang secukupnya kemungkinan dapat menyelamatkan mereka daripada membunuh diri.
- Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh, Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan.










