KERUSI, kerusi, kerusi. Objek ini menjadi begitu popular menjelang pilihan raya.
Pada 26 September ini akan berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan sekali lagi, topik kerusi menjadi popular.
PRN Sabah kali ini agak unik kerana melibatkan banyak watak sama seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi ramai dalam kalangannya sudah ‘bertukar baju’.
Kalau dahulu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memakai baju putih sebagai tanda sokongan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) manakala Pas memakai baju hijau secara sendirian, kali ini kedua-duanya bersedia menyarung baju biru gelap dengan identiti baharu sebagai Perikatan Nasional (PN).
PN sebuah perikatan politik hasil kerjasama kawan dan lawan. Mungkin sukar bagi mereka untuk bertoleransi dalam soal kerusi tetapi seperti kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mereka tiada pilihan selain bekerjasama.
Setakat ini, bagi PN, ditetapkan bahawa mereka akan bertanding satu lawan satu dengan pembangkang. Calon mereka tak akan bertembung antara satu sama lain di mana-mana kerusi.
Persoalannya, siapa yang bertanding di kerusi mana? Setiap parti mempunyai kelebihan dan hujah-hujah tersendiri mengapa mereka layak bertanding di kerusi tertentu.
Pas, walaupun dengan rekod buruk di Sabah bertanding 18 kerusi dan kalah kesemuanya dalam PRU-14, dikatakan turut menuntut kerusi-kerusi tertentu. Dewan Pemuda Pas (DPP) Sabah pada Ahad lepas telah meluluskan usul agar Pas mempertahankan semua kerusi yang ditandinginya pada PRU-14.
Bersatu pula semakin yakin dengan kemampuannya memenangi lebih banyak kerusi selepas kemasukan kira-kira 40,000 ahli baharu semasa Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Kota Kinabalu baru-baru ini.
Boleh dikatakan, hal kerusi yang akan menentukan masa hadapan PN. Andai gagal urusan pengagihan kerusi dalam PRN Sabah, boleh dikatakan perikatan itu akan terkubur tak sampai setahun selepas ia tertubuh.
Pensyarah kanan pengajian politik di Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali menegaskan, yang menentukan menang kalah PN dalam PRN Sabah adalah diri mereka sendiri, bukan lawannya.
“Pakatan Harapan (PH) tidaklah begitu kuat tetapi akibat perbezaan pandangan dalam kalangan parti yang pro kepada PN, mereka dilihat kurang sepakat.
“Ketidaksepakatan ini perlu diselesaikan cepat kalau tak mahu ada masalah pertandingan banyak penjuru kerana ia akan beri kelebihan kepada PH.
“Peluang untuk PN menang mereka mesti ada kesefahaman. Jangan depan sahaja berjabat tangan tetapi belakang mereka ‘cah keting’,” katanya. – UTUSAN










