Lagu saya tidak ikut ‘kepala sendiri’ – Izo - Utusan Malaysia

Lagu saya tidak ikut ‘kepala sendiri’ – Izo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebut sahaja kumpulan XPDC, pastinya ramai yang mengagumi. Keasliannya tidak sekadar terletak pada kemerduan lagu yang disampaikan, malah alunan muzik yang diketengahkan cukup berbeza dengan kumpulan-kumpulan rock yang sezaman dengannya. Tidak hairanlah XPDC mencipta sejarah tersendiri, terutamanya dari sudut angka penjualan album bagi setiap rilisan yang dihasilkan.

Kejayaan dan sokongan yang ditunjukkan peminat tidak tamat di situ. Setiap persembahan mereka sering mendapat sambutan di luar jangkaan, buatlah di mana sahaja. Serata tapak ekspo, stadium, kelab malam dan sebagainya pasti dibanjiri ribuan penonton.

Semuanya tidak akan menjadi kenyataan tanpa adanya nadi atau penggerak utama yang bertindak sebagai tulang belakang bagi merealisasikan kejayaan kumpulan ini. Mungkin sosok ini kurang dikenali berbanding si penyanyi, namun sumbangannya cukup besar dan begitu bermakna.

Bersama Khabar Legenda, Mohd. Zulkifly Nik Hussin, 56, atau lebih dikenali sebagai Izo, berkongsi cerita kejayaan silam serta perjuangan seninya yang masih diteruskan sehingga kini.

“Material terakhir saya ketika ini adalah album Doa yang diterbitkan pada 2018. Namun itu bukanlah penamatnya. Saya masih mencipta lagu-lagu baharu untuk simpanan. Insya-Allah jika sesuai dan bagus mungkin boleh dijadikan material terbaharu pada masa akan datang.

“Kemudian lagu-lagu itu saya akan perdengarkan kepada rakan-rakan sama ada sesuai atau tidak untuk dimuatkan dalam album. Saya tidak ikut ‘kepala sendiri’, kerana kita bekerja dalam satu kumpulan. Masing-masing ada peranan untuk sajikan sesuatu yang berkualiti buat peminat,” katanya di awal bicara.

Tidak menafikan arus perjalanan seni yang berbeza hari ini, perubahan tersebut sedikit sebanyak merubah landskap kegemilangan yang pernah dilaluinya sebelum ini. Namun dia tetap yakin setiap karya bermutu serta berkualiti pastinya diterima peminat untuk dijadikan santapan halwa telinga.

Bukan ingin bernostalgia atau bermonolog mengimbau kenangan lalu, justeru setiap apa yang berlaku akan dijadikan pedoman dan iktibar dalam menelusuri liku-liku perjalanan kerjaya pada masa akan datang.

“Dulu lain dan sekarang lain. Zaman sudah berubah. Masa dulu kalau hendak keluar album, syarikat rakaman akan jemput ramai salesman untuk sesi pra dengar. Waktu itulah mereka akan buat tempahan awal. Ada yang booking 10,000 copy, 20,000 copy, kiranya album belum keluar tapi sudah ada tempahan. Kita yang berada di situ pun sudah bersemangat.

“Keunggulan jenama XPDC adalah kerana kualiti yang ditampilkan. Penerbit album, Allahyarham JS Kevin seorang cukup memahami. Dia beri kebebasan sepenuhnya kepada saya untuk buat arrangement pada setiap lagu. Begitu juga kalau bekerja di studio. Pihak syarikat rakaman tidak letakkan had untuk saya berkarya.

“Saya diberi kebebasan gunakan studio berapa puluh jam yang saya mahu. Begitulah istimewanya XPDC ketika itu,” katanya.

Anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini berkata, meneroka idea untuk dipersembahkan kepada peminat bukanlah mudah. Perlu ada cukup resipi serta rencah sebelum diadunkan dengan baik agar tidak tersasar daripada keaslian muzik yang diperjuangkan.

Justeru peminat sudah mengenali XPDC sejak daripada rilisan pertama lagi, malahan mereka sudah hadam dengan genre muzik yang ditampilkan. Penambahbaikan hanyalah kematangan dalam berkarya tanpa perlu melunturkan hala tuju yang dipertaruhkan sebelum ini.

“Bukan mudah mencari ilham. Sebab itu, kalau buat lagu saya akan berkurung seorang diri dalam studio. Saya akan kunci pintu tanpa benarkan sesiapa ganggu. Selalunya tengah malam saya masuk, keesokkan paginya barulah saya keluar. Kalau kepala buntu tiada idea, saya akan keluar sekejap pergi kedai mamak, kemudian sambung semula.

“Setiap kali buat lagu saya akan bayangkan berada di atas pentas berhadapan penonton. Cuba ambil mood dan feel adakah yang saya persembahkan itu bagus atau sebaliknya. Itu cara saya dapatkan kepuasan. XPDC lahir daripada setiap individu yang kreatif dan berbakat. Kami tidak gunakan sebarang sessonist dalam setiap pembikinan album,” katanya.

Tidak pernah mendabik dada dalam setiap kejayaan yang diperoleh terutamanya jualan album yang seringkali mencecah ratusan ribu unit, dia menganggap saban waktu ada kekurangan yang perlu diperbaiki.

“XPDC adalah jenama besar dalam industri. Apa yang dipersembahkan menjadi penilaian peminat. Main muzik kena bagus, jujur dan gembira. Jangan sesekali tipu peminat. Mereka laburkan duit untuk lihat dan dengar karya kita. Jadi kena beri yang terbaik,” katanya.

Rezeki tetap ada walau berubah haluan

Walau berbeza haluan dengan beberapa anggota asal, itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dan berkarya. Dia akui tenang dan puas dengan jalan yang dipilihnya kini. Selagi diterima peminat itu sudah memadai.

Baginya kewujudan dua kumpulan yang menggunakan jenama XPDC hari ini bukanlah isu besar yang perlu digembar-gemburkan. Walaupun pada awalnya pernah menjadi tegang dengan pelbagai isu dan konflik, namun ia sudah diselesaikan dengan cara baik dan berhemah.

“Soal dengan kumpulan mana saya berada bukanlah isu. Sekarang masing-masing dah bawa haluan sendiri. Saya dengan kumpulan saya dan Mael dengan kumpulannya. Walaupun hari ini ada dua jenama XPDC, namun itu bukanlah halangan untuk kami berkarya dengan cara masing-masing.

“Peminat matang untuk memilih mana yang mereka suka. Rezeki datang dan ditentukan oleh Allah SWT dan bukannya terletak pada individu atau kumpulan mana yang kita ikut. Jadi masing-masing kena berusahalah,” katanya.

Ketika ditanya tentang perbalahan yang tidak bernoktah ini, dia sekadar berharap agar tiada tersemat rasa dendam atau ketidakpuasan hati antara mereka. Baginya cukup sekadar saling memaafkan setiap kesilapan lalu, walaupun tidak mungkin berkongsi pentas seperti dahulu.

“Bagi saya apa yang sudah berlalu itu biarlah berlalu. Apa yang saya pilih kini mungkin jalan terbaik buat saya. Saya gembira dengan kehidupan bersama rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa memudahkan kerja saya hari ini. Dalam persahabatan kita perlu saling menghormati. Tidak semestinya bila kita berkawan lama dengan orang itu, dia akan hormat kita. Sampai bila nak hadap orang yang perangai macam itu?

“Dalam kumpulan kita tak boleh ‘besar kepala’ atau pentingkan diri sendiri. Bila itu berlaku secara tidak langsung dia telah menggagalkan kumpulan ini. Bab masalah peribadi saya malas nak komen. Tetapi kalau melibatkan soal kumpulan saya akan bersuara. Kita naik ke pentas bukan bawa nama sendiri, tapi nama kumpulan. Jadi kenalah jaga hati dan perasaan rakan lain,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×