Waspada ancaman Mossad - Utusan Malaysia

Waspada ancaman Mossad

ANWAR Ibrahim menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang, Abdul Mohsein Mohd. Shariff (kiri) menyerahkan agihan manfaat Wakaf As-Siyanah untuk masjid dan surau di Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kekuatan agensi perisikan Israel, Mossad di Thailand yang meningkat sehingga tiga kali ganda menuntut kewaspadaan Malaysia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ancaman terhadap keselamatan negara.

Sejak tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, Mossad dipercayai semakin aktif dan mempunyai pengaruh yang kuat di negara jiran itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, per­kembangan itu perlu diberi perhatian serius terutama selepas pembelian tanah oleh pihak berkaitan Israel di beberapa lokasi termasuk Phuket, Bangkok dan wilayah bergolak di selatan Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anwar berkata, walau bagai­manapun, Malaysia perlu me­ngekalkan hubungan baik de­­ngan negara jiran bagi memastikan sebarang ancaman keselamatan dapat ditangani secara bersama.

“Kita kena baik dengan negara jiran supaya dapat kita tangani hal ini. Dan keduanya kita kena waspada supaya kekuatan kita itu ada.

“Sekarang ini saya minta Maj­lis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan kepada rakyat bahawa kegiatan Mossad yang berpangkalan di negara jiran sangat kuat.

“Dalam tiga empat tahun ini naik tiga kali kekuatannya. Ta­nah-tanah yang dikuasai Israel itu telah dibeli bukan sahaja di Phuket dan Bangkok, tetapi juga di selatan Thailand,” katanya ketika berucap merasmikan Semarak Wakaf Perdana 2026 di sini semalam.

Perdana Menteri berkata, Ma­laysia perlu mengambil pende­katan diplomasi dan menjalin hubungan baik dengan semua negara termasuk kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, hubungan baik itu penting sebagai sebuah negara kecil yang perlu memastikan kepentingan dan keselamatan negara terus terpelihara.

Beliau berkata, walaupun terdapat perbezaan pendirian dengan AS, hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara itu tetap penting untuk dipelihara.

Menurutnya, AS merupakan antara rakan dagang dan pelaburan terbesar Malaysia manakala China pula ialah kuasa besar yang mempunyai kedudukan strategik di rantau ini.

Anwar turut mengimbau hubungan diplomatik Kesultanan Melayu Melaka dengan China yang mana pertalian erat dengan kuasa besar membantu menjamin keselamatan dan kelangsungan sesebuah negara.

Katanya, Malaysia perlu bijak mengimbangi hubungan dengan negara besar dan negara jiran tanpa mengetepikan kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai wakaf, Perdana Menteri mengingatkan, dana itu perlu diurus dan ditadbir dengan baik serta berkesan bagi memastikannya dimanfaatkan untuk pembangunan ummah termasuk membina institusi pendidikan dan pusat ilmu.

Anwar berkata, pengurusan wakaf memerlukan peranca­ngan teliti, ketelusan dan kebijaksanaan supaya dana yang dikumpul tidak terbiar atau gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

Menurutnya, institusi wakaf dalam Islam sejak dahulu menjadi antara tonggak kekuatan ekonomi termasuk membiayai pembinaan institusi pendidikan terkemuka seperti Universiti Al-Azhar.

“Ulama silam, pemimpin dan negarawan memikirkan masa depan. Walaupun ketika itu terdapat pelbagai kelemahan, pengurusan yang baik dan amanah membolehkan dana wakaf memberikan kesan besar kepada pembangunan ummah.

“Bayangkan bagaimana ne­geri yang ketika itu relatif lebih mundur dan miskin mam­pu membangunkan universiti agung dalam dunia Islam. Bukan kerana semua orang pintar atau ramai ulama dan sarjana, tetapi kerana pentadbirannya jelas serta diuruskan dengan baik,” katanya.

Anwar berkata, kelemahan dari segi tadbir urus dan pengurusan dana boleh menyebabkan sumber kewangan besar tidak dapat dimanfaatkan terutama apabila tanggungjawab diberikan kepada individu yang tidak mempunyai­ kemahiran serta kepakaran.

Katanya, aspek amanah dan tadbir urus tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-duanya menjadi asas kepada keberkesanan pengurusan serta pengagihan dana wakaf.

“Letakkan orang yang tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran, wang itu akan terperap di situ. Ataupun tidak ada keberanian, maka wang kita akan kekal di situ,” kata­nya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, isu kemiskinan dalam kalangan orang Me­layu di Pulau Pinang dipantau sendiri olehnya secara dekat dan memerlukan perhatian berterusan daripada kepe­mimpinan negeri.

“Dari segi perumahan, dari segi projek, dari segi masalah orang Melayu, kemiskinan itu masih saya pantau sendiri. Saya kebetulan diamanahkan sebagai Menteri Kewangan.

“Saya selalu pesan kepada Dr. Mohamad (Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid) dan Setiausaha Kerajaan Negeri supaya menjaga negeri serta memberi tumpuan kepada pembangunan negeri.

“Kita mengambil pera­nan­ khusus untuk menjaga ma­syarakat Melayu Pulau Pinang. Jangan lupa, inilah yang saya sampaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini