KUALA LUMPUR: Jaringan lebih 140,000 alumni Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) berpotensi dimanfaatkan sebagai kekuatan strategik dalam memperluas peluang pekerjaan, memperkukuh hubungan industri serta menyokong pembangunan generasi pelajar akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB), Radzuan Razali berkata, jaringan alumni yang dibina sejak penubuhan institusi itu pada 1983 perlu digerakkan secara lebih tersusun supaya kejayaan bekas graduan dapat dimanfaatkan semula untuk kepentingan institusi dan pelajar.
Menurutnya, penglibatan alumni bukan sekadar untuk mengeratkan hubungan dengan institusi, malah membuka ruang kepada kerjasama lebih luas menerusi rangkaian syarikat, kepakaran serta sumbangan kewangan.
“Kita mahu mendapatkan sumbangan kembali daripada alumni yang sudah berjaya bagi membantu pelajar sekarang, khususnya dari segi peluang pekerjaan melalui rangkaian syarikat mereka serta sumbangan pendanaan untuk institusi dan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hi-Tea Legasi Gemilang GenMARA KPTM dan UPTM 2026 yang menghimpunkan kira-kira 600 alumni daripada pelbagai generasi, di sini, Sabtu lalu.
Radzuan berkata, usaha memperkukuh jaringan alumni turut penting bagi memastikan program pengajian yang ditawarkan sentiasa memenuhi keperluan industri, sekali gus memberikan kelebihan daya saing kepada graduan.
Katanya, KPTM dan UPTM kini mempunyai 36,000 pelajar yang mengikuti 56 program pengajian dari peringkat asasi hingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD), selain merancang memperkenalkan 44 program baharu menjelang 2030.
“Kerjasama dengan industri amat penting dan alumni sendiri boleh menjadi penghubung untuk mendapatkan maklum balas mengenai keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Kita mahu memastikan program yang ditawarkan terus relevan dan mampu menyediakan graduan yang mempunyai daya saing apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Shahrizal Mohd Saderi berkata, kejayaan sesebuah institusi pendidikan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik atau jumlah program ditawarkan semata-mata, sebaliknya turut dilihat menerusi pencapaian graduan selepas meninggalkan institusi.
Beliau berkata, kepakaran dan pengalaman alumni dalam pelbagai sektor perlu digembleng semula bagi memberi manfaat kepada pelajar, selain membantu memperkukuh kedudukan institusi pendidikan MARA.
“Kemenjadian graduan atau alumni merupakan penanda aras sebenar kepada kejayaan sesebuah institusi pendidikan.
“Kita mengharapkan kepakaran yang dimiliki alumni dapat dikembalikan kepada MARA, khususnya KPTM dan UPTM, supaya dapat dimanfaatkan oleh generasi pelajar seterusnya,” katanya.
Menurutnya, jaringan berkenaan boleh dimanfaatkan melalui perkongsian pengalaman, bimbingan kerjaya, peluang latihan industri serta bantuan dalam meningkatkan kemudahan pembelajaran di kampus.
Dalam perkembangan lain, kadar kebolehpasaran graduan KPTM dan UPTM kini mencapai 95 peratus, sekali gus mencerminkan keupayaan institusi berkenaan menyediakan pendidikan dan latihan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ikon Alumni kepada tujuh bekas graduan yang berjaya membina kerjaya dan perniagaan dalam pelbagai bidang.
Penganjuran itu merupakan perhimpunan alumni secara berpusat pertama sejak penubuhan KPTM dan UPTM pada 1983, selepas aktiviti seumpama itu sebelum ini lebih tertumpu kepada penganjuran di peringkat kampus.
Selain penyampaian anugerah, majlis turut menampilkan reruai pameran produk usahawan alumni, Hall of Fame Alumni secara digital, Alumni Legacy Walk, tayangan video alumni luar negara serta persembahan khas. – UTUSAN











