LONDON: Baharu sahaja melakar rekod pelancaran luar biasa di platform konsol, pembangun permainan video terkenal Grand Theft Auto 6 (GTA 6) kini berdepan cabaran baharu apabila golongan pengatur cara dan pemain mula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta fail bocor untuk mengklon permainan tersebut ke versi komputer peribadi.
Syarikat pembangunnya, Rockstar Games setakat ini masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi versi komputer bagi GTA 6, selaras dengan tradisi terdahulu mereka seperti GTA 5 yang hanya dilancarkan di platform itu 19 bulan selepas versi konsol.
Namun, situasi kali ini berbeza apabila wujud kebocoran fail daripada versi pembangunan Xbox permainan tersebut, ditambah pula dengan kepesatan platform pengekodan AI yang membolehkan pengguna membina semula atau mengadaptasi permainan sedia ada hanya dalam masa beberapa hari.
Belum pun genap seminggu GTA 6 dilancarkan, usaha menghasilkan versi tidak rasmi untuk dimainkan di komputer sudah giat dijalankan, biarpun beberapa projek berkenaan telah menerima notis arahan padam daripada pihak penerbit permainan tersebut.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan pembangun permainan video global kerana ia bukan sahaja menghakis kawalan mereka terhadap harta intelek, malah memberi amaran permainan berskala mega seperti GTA 6 turut berisiko ditiru dengan mudah.
Gelombang penghasilan semula permainan video berasaskan AI kebelakangan ini banyak dikaitkan dengan model Opus 5.5 keluaran Anthropic yang dilancarkan pada September lalu serta alat ejen pengekodan seperti Claude Code.
Pencipta saluran YouTube Game Maker’s Toolkit, Mark Brown yang permainan miliknya sendiri iaitu Word Play turut diklon menggunakan AI baru-baru ini menjelaskan bahawa aktiviti pengklonan terbahagi kepada dua bentuk utama iaitu replikasi dan kejuruteraan balikan.
Menurutnya, proses replikasi berlaku apabila pengguna mengarahkan bot sembang AI seperti Claude atau ChatGPT membina permainan baharu berdasarkan tangkap layar atau penerangan permainan sedia ada, seumpama melihat sebuah lukisan dan menghasilkan salinan hampir serupa tetapi dalam bentuk lukisan baharu.
Ancaman itu kini semakin meresahkan studio pembangun kecil apabila ramai yang bimbang hasil kerja mereka mudah diciplak pihak tidak bertanggungjawab.
Sebagai contoh, pembangun permainan bebas (indie), Sodoj dan Marco daripada studio Robotonic meluahkan rasa terkejut apabila mendapati versi permainan teka-teki mereka yang belum pun dilancarkan secara rasmi, 204Snake muncul di platform permainan percuma Yandex dengan menggunakan nama yang sama. -AGENSI











