IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM60 juta pada tahun hadapan bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf pasar awam serta medan selera di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM30 juta disediakan bagi menaik taraf medan selera, manakala RM30 juta lagi untuk kerja-kerja menaik taraf pasar awam.
“Setakat ini, KPKT telah melaksanakan lebih 16,000 projek prasarana awam membabitkan medan selera, pasar awam, tandas ‘Bersih, menawan dan Wangi’ (BMW), taman Madani, sistem perparitan, pembaikan cerun bukit dan pemasangan lampu solar.
“Jumlah itu merupakan rekod tertinggi dalam sejarah dan saya berharap rakyat terus memberi peluang kepada kerajaan Madani untuk menerajui negara bagi satu penggal lagi supaya lebih banyak projek berimpak tinggi dapat dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Idea Konsep Reka Bentuk Cadangan Membina Pasar Pasir Puteh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KPKT telah memperuntukkan lebih RM200 juta bagi pembinaan semula dan menaik taraf pasar awam di seluruh negara sepanjang tempoh empat tahun lalu.
Katanya, antara projek yang dilaksanakan termasuk Pasar Besar Ipoh dengan peruntukan RM15 juta, Pasar Pinji (RM12 juta) dan Pasar Pasir Puteh (RM9 juta).
“Peruntukan disalurkan berdasarkan keperluan dan skala setiap pasar, bukannya ditetapkan pada kadar sama bagi semua lokasi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kor Ming berkata, setiap negeri disasarkan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah pasar awam yang berpotensi menjadi mercu tanda dan destinasi pelancongan menerusi transformasi reka bentuk serta kemudahan yang lebih moden.
Katanya, usaha itu mengambil contoh kejayaan Pasar Seni (Central Market) di Kuala Lumpur dan Pasar Payang di Kuala Terengganu yang menjadi antara tarikan pelancong di negeri masing-masing. – UTUSAN











