AI perlu pacu produktiviti, bukan sekadar automasi

AI perlu pacu produktiviti, bukan sekadar automasi

AHMAD FAUZI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan perniagaan di Malaysia semakin berkembang apabila 38 peratus syarikat kini menggunakan sekurang-kurangnya satu alat AI secara konsisten, meningkat daripada 27 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, hanya 19 peratus perniagaan mempunyai strategi rasmi untuk memperluas penggunaan teknologi itu merentas pelbagai fungsi, sekali gus menunjukkan kebanyakan syarikat masih berada pada peringkat percubaan dan belum memanfaatkan sepenuhnya AI dalam operasi serta pertumbuhan perniagaan.

Persoalannya, apakah langkah yang perlu diambil syarikat tempatan untuk beralih daripada sekadar mencuba teknologi AI kepada penggunaannya secara menyeluruh dalam operasi perniagaan? 

Memuatkan artikel berkaitan…

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Singularity Connect, AHMAD FAUZI ALI mengenai potensi, cabaran dan hala tuju penggunaan AI dalam industri tempatan.

UTUSAN: Mengapa kebanyakan organisasi masih berada pada peringkat percubaan AI dan apakah yang perlu dilakukan untuk memperluas penggunaannya?

AHMAD FAUZI: Pada pandangan saya, kebanyakan organisasi memulakan penggunaan AI dengan menguji keupayaan teknologi itu, tetapi belum melakukan perubahan operasi yang diperlukan untuk memanfaatkannya secara berkesan dalam urusan harian.

Kejayaan sesuatu demonstrasi perlu disusuli dengan penyepaduan AI dalam proses kerja, sistem dan pembahagian tanggungjawab organisasi.

Syarikat di Malaysia perlu mematangkan penggunaan AI supaya tidak hanya tertumpu kepada aktiviti menyalin dan menampal jawapan untuk penyediaan e-mel, laporan serta pembentangan. 

Walaupun pendekatan itu merupakan permulaan yang baik, peluang lebih besar terletak pada keupayaan AI memperbaiki operasi yang menjadi asas kepada laporan berkenaan.

Ini termasuk meningkatkan hasil pengeluaran, mengurangkan kecacatan dan pembaziran, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta mempercepat penyelesaian masalah.

Bagi mencapai tahap itu, pihak pengurusan perlu mengenal pasti masalah operasi secara khusus, menetapkan petunjuk prestasi semasa dan melantik individu yang bertanggungjawab memastikan penggunaan AI memberikan hasil yang disasarkan.

Pekerja juga perlu dilibatkan sejak awal kerana pengalaman mereka penting untuk mengenal pasti ruang penggunaan AI, menilai cadangan yang dihasilkan teknologi itu serta menentukan keadaan yang masih memerlukan pertimbangan manusia.

Apakah inisiatif yang dilaksanakan Singularity Connect untuk memperluas penggunaan AI dalam kalangan perusahaan tempatan?

Di Singularity Connect, pendekatan kami adalah menghubungkan kepakaran industri, sistem, aliran kerja dan pembangunan tenaga kerja melalui platform yang dibangunkan. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan prestasi perusahaan seiring dengan pembangunan kompetensi pekerja.

Pendekatan itu menjadi asas kepada Rangkaian ASEAN Malaysia Berteraskan AI (RAMAI) iaitu inisiatif Singularity Connect yang akan dibangunkan bersama rakan industri, institusi dan teknologi.

Pada peringkat awal, rangkaian itu akan memberi tumpuan kepada tiga koridor khusus, iaitu aeroangkasa, kesihatan dan pertanian. 

Melalui pendekatan tersebut, perusahaan yang mengambil bahagian dapat bekerjasama dengan pakar serta pusat kecemerlangan untuk menguji penyelesaian AI, mengesahkan keberkesanannya dan membangunkan kemahiran yang diperlukan.

Kaedah yang terbukti berkesan kemudiannya boleh disesuaikan serta dikembangkan dalam kalangan rakan rangkaian, sekali gus membantu lebih banyak syarikat beralih daripada peringkat percubaan kepada penggunaan AI secara lebih menyeluruh.

Bagaimanakah AI boleh memberikan impak sebenar dalam sektor kesihatan, pertanian dan aeroangkasa?

Saya menilai impak sebenar AI berdasarkan penambahbaikan yang dapat dilihat dalam operasi harian serta keupayaan membuktikan hasilnya secara konsisten.

Sehubungan itu, apabila RAMAI dibangunkan bersama rakan industri, sektor aeroangkasa, kesihatan dan pertanian akan menjadi tiga bidang tumpuan awal. 

Aplikasi yang dikenal pasti merupakan antara keutamaan yang akan dibangunkan dan diuji bersama rakan berkaitan, manakala keberkesanannya perlu dibuktikan mengikut keperluan setiap sektor.

Bagi Koridor AI Kesihatan, tumpuan diberikan kepada penyelarasan urusan pesakit seperti temu janji, rujukan, dokumentasi dan tindakan susulan bagi mengurangkan masa menunggu serta beban pentadbiran petugas kesihatan, tanpa mengetepikan pengawasan profesional dalam keputusan klinikal.

Dalam sektor pertanian, AI boleh menggabungkan data tanah, cuaca dan tanaman bagi membantu pengusaha merancang pengairan, pembajaan serta penuaian, sekali gus meningkatkan hasil dan mengurangkan pembaziran.

Sementara itu, Koridor AI Aeroangkasa memberi tumpuan kepada pemeriksaan kualiti komponen, pengesanan kecacatan dan perancangan penyelenggaraan bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kerja semula serta memastikan pematuhan standard keselamatan.

Melalui RAMAI, Singularity Connect akan bekerjasama dengan rakan industri untuk menghimpunkan perusahaan, pakar, institusi penyelidikan dan penyedia latihan dalam setiap koridor berkenaan.

Platform kami akan menghubungkan kepakaran tersebut dengan aliran kerja harian bagi membantu organisasi menggunakan pengetahuan yang telah disahkan, selain membangunkan kemahiran pekerja menerusi pelaksanaan tugas sebenar.

Apakah cabaran terbesar yang perlu ditangani Malaysia dari segi bakat, data, kos dan kesediaan industri untuk menerima AI?

Cabaran utamanya, pada pandangan saya adalah menghubungkan teknologi dengan pengetahuan industri serta keupayaan melaksanakan perubahan dalam organisasi.

Dari segi bakat, pembangunan kemahiran perlu melibatkan pekerja sedia ada selain melahirkan tenaga kerja baharu. 

Jurutera, juruteknik, petugas kesihatan dan pengusaha pertanian mempunyai pengalaman industri yang bernilai, justeru mereka memerlukan sokongan untuk menggunakan AI, menilai cadangannya, mengendalikan keadaan luar jangka dan memikul tanggungjawab lebih besar.

Perkara ini turut berkait rapat dengan kebimbangan mengenai kehilangan pekerjaan susulan perkembangan AI. Kita perlu mengakui bahawa sebahagian tugas akan diautomasikan, manakala sesetengah jawatan mungkin berubah atau berkurangan.

Peningkatan kompetensi pekerja amat penting, tetapi latihan semata-mata tidak menjamin kelangsungan pekerjaan. Majikan juga perlu merancang penempatan semula pekerja, menyusun semula tanggungjawab dan mewujudkan peluang perniagaan baharu yang dapat memanfaatkan keupayaan tenaga kerja tersebut.

Sebagai contoh, pekerja yang sebelum ini banyak menghabiskan masa menyediakan laporan pengeluaran boleh dibimbing untuk menjalankan analisis punca kecacatan dan menyelaras tindakan pembetulan.

Di Singularity Connect, kami mahu menyokong pembelajaran dalam persekitaran kerja sebenar melalui bimbingan, maklum balas dan penilaian kompetensi oleh manusia. Matlamatnya adalah membantu pekerja beralih kepada tugasan yang memerlukan pertimbangan serta tahap tanggungjawab lebih tinggi.

Dari aspek data, perusahaan memerlukan maklumat yang boleh dipercayai, pemilikan data yang jelas dan kawalan akses bersesuaian. Melalui RAMAI, rakan yang mengambil bahagian boleh berkongsi kepakaran tanpa perlu menyerahkan kawalan terhadap maklumat sulit masing-masing.

Dari segi kos pula, pelaburan dalam AI bukan sekadar melibatkan pembelian teknologi, malah merangkumi penyediaan data, penyepaduan sistem, latihan pekerja dan sokongan berterusan.

Perkongsian kepakaran serta penggunaan semula kaedah yang telah terbukti berkesan berpotensi mengurangkan kos dan usaha berulang, khususnya bagi perusahaan kecil.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini