Guna AI untuk tangkis penularan maklumat palsu

Guna AI untuk tangkis penularan maklumat palsu

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Orang ramai digalakkan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyemak kesahihan maklumat yang tular dalam media sosial, khususnya kandungan palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi deepfake.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kemudahan AI seperti Meta AI dalam aplikasi WhatsApp, selain aplikasi seperti Gemini dan ChatGPT boleh digunakan untuk membantu mengesahkan kandungan berbentuk video, grafik dan maklumat sebelum dikongsi kepada orang lain.

“Kita boleh guna AI untuk lawan AI sekarang. Dalam WhatsApp sebenarnya ada satu tab Meta AI di sudut bawah kanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita boleh bercakap, forward mesej atau meletakkan sesuatu kandungan dan minta input pandangan daripada Meta AI mengenai kesahihannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Koperasi TNB “Kasih Rezeki KopTNB”, di Apartment Zamrud, Jalan Klang Lama, di sini hari ini.

Fahmi berkata beliau sendiri turut memanfaatkan kemudahan itu selepas menerima pertanyaan berhubung satu grafik tular, yang mendakwa Kuala Lumpur sebagai antara 10 bandar raya paling berbahaya di dunia.

“Jadi saya panjangkan (forward) grafik itu kepada Meta AI dan ia memaklumkan bahawa statistik berkenaan tidak diambil daripada sumber rasmi pihak polis, malah sumbernya tidak diketahui. Maka, janganlah percaya kandungan seperti ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan kesiapsiagaan bencana, Fahmi memaklumkan agar orang ramai bersedia dan tidak terkejut sekiranya menerima bunyi ujian Sistem Amaran Awal (EWS) menerusi sistem MySiren yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada esok.

Beliau berkata ujian itu bertujuan membiasakan orang ramai dengan bunyi nada deringan amaran rasmi supaya mereka dapat mengambil perhatian, dan langkah segera bagi menyelamatkan diri serta harta benda apabila berlaku kecemasan sebenar.

“Ujian esok dilakukan agar semua orang dapat mendengar dan mengenali bunyi amaran daripada MySiren ini,” katanya.

Ujian EWS akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula pada 10.10 hingga 10.30 pagi esok bagi menguji keupayaan sistem itu menyalurkan notifikasi kecemasan secara pantas kepada telefon bimbit pengguna.

Sementara itu, Fahmi turut mengingatkan ibu bapa bahawa penyaluran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid akan disalurkan bermula Januari 2027.

Beliau berkata sistem serahan secara tunai di sekolah akan diteruskan seperti pelaksanaannya tahun ini bagi memupuk hubungan erat antara ibu bapa dan guru, sekali gus memudahkan komunikasi dua hala berhubung perkembangan murid. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini