MOSCOW: Russia akan menambah lima kapal selam berkuasa nuklear dalam armada tentera lautnya menjelang 2030, selepas memperkenalkan aset terbaharunya, Perm, kelmarin.
Presiden Russia, Vladimir Putin, menghadiri upacara menaikkan bendera di atas kapal selam Perm di limbungan kapal Sevmash, bandar Severodvinsk di barat laut negara itu, menandakan penyerahan rasmi aset tersebut kepada tentera laut.
“Russia adalah antara segelintir negara di dunia yang berupaya membina kapal selam nuklear berkuasa tinggi seperti ini, iaitu senjata yang mempunyai jangkauan dan kepentingan global,” katanya dalam rakaman yang dikeluarkan Kremlin kelmarin.
Kapal selam berkuasa nuklear menjadi sebahagian daripada aset ketenteraan laut Russia kerana mampu berada di bawah permukaan air untuk tempoh yang panjang.
Perm yang dibangunkan dalam kelas Yasen-M turut mempunyai keupayaan membawa pelbagai jenis peluru berpandu kruis.
Putin berkata, daripada lima aset baharu yang akan diterima tentera laut Russia menjelang 2030, tiga daripadanya merupakan kapal selam kelas Yasen-M.
Kapal selam berkenaan mampu beroperasi di mana-mana kawasan lautan dunia selain membawa pelbagai jenis peluru berpandu kruis, katanya.
Putin turut menggesa sektor perniagaan dan industri lain bekerjasama bagi menyokong pembangunan serta memperkukuh keupayaan tentera laut Russia.- AGENSI











