KGTT komited gilap bakat atlet taekwondo muda Terengganu

KGTT komited gilap bakat atlet taekwondo muda Terengganu

AKSI atlet cilik Taekwando beraksi dalam Kejohanan Taekwondo Gemilang Kali Ke-12 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu hari ini. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Kelab Gemilang Taekwondo Terengganu (KGTT) komited menggilap bakat atlet pelapis dalam kalangan anak jati negeri ini bagi melahirkan lebih ramai wakil yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Presidennya, Shaik Ismail Mohd Farook berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi program pembangunan bakat secara berterusan dengan memberi pendedahan kepada kanak-kanak dan remaja sejak usia muda.

Menurutnya, kejayaan melahirkan atlet yang mewakili negara membuktikan usaha pembangunan sukan taekwondo oleh kelab itu selama hampir 26 tahun membuahkan hasil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, setakat ini kita sudah melahirkan ramai atlet yang mewakili Terengganu dan negara, termasuk tiga atlet yang berjaya diketengahkan ke peringkat kebangsaan.

“Seorang daripada mereka baru-baru ini berjaya meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA), manakala dua lagi menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dan disasarkan mewakili negara pada Sukan SEA 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Taekwondo Gemilang peringkat negeri Terengganu Kali Ke-12 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini.

Kejohanan selama dua hari itu menghimpunkan hampir 1,200 peserta dari seluruh daerah di Terengganu yang mengambil bahagian dalam empat disiplin pertandingan.

Shaik Ismail berkata, KGTT kini mempunyai keahlian dianggarkan antara 1,500 hingga 2,000 pelatih yang mengikuti latihan di sekolah dan pusat latihan kelab berkenaan.

Katanya, penyertaan kejohanan itu dibahagikan mengikut beberapa kategori umur bermula daripada kanak-kanak tadika berusia empat hingga enam tahun, sekolah rendah hingga pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun.

“Kita mahu memberi peluang kepada anak-anak Terengganu mengasah bakat dan membina keyakinan melalui pertandingan seperti ini.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan atlet daripada anak jati Terengganu sendiri dan bukannya bergantung kepada atlet dari negeri lain bagi mewakili negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat / Sukan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Wan Roslan Wan Ramli berkata, kejohanan berkenaan berpotensi membantu meningkatkan penglibatan murid dalam aktiviti sukan dan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Katanya, walaupun taekwondo belum dipertandingkan secara khusus dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), penyertaan murid dalam kejohanan berkenaan boleh memberi nilai tambah kepada pencapaian kokurikulum mereka tertakluk kepada kelulusan dan pengiktirafan yang ditetapkan.

“Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sentiasa menyokong usaha pembangunan murid melalui penglibatan dalam aktiviti sukan.

“Kejohanan seperti ini memberi peluang kepada murid untuk mengembangkan bakat, meningkatkan kemahiran dan membina keyakinan diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini