Penjual 'racun bunuh diri' berdepan penjara 25 tahun

Penjual ‘racun bunuh diri’ berdepan penjara 25 tahun

KENNETH Law sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat membantu 14 kes bunuh diri di negara itu.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Pihak pendakwa raya Kanada memohon hukuman penjara 25 tahun terhadap seorang lelaki yang menjual bahan beracun untuk membantu individu membunuh diri, sambil menegaskan kebanyakan mangsa merupakan golongan muda yang sedang mengalami tekanan mental.

Bekas cef, Kenneth Law, 61, sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat membantu 14 kes bunuh diri di negara itu, selain mengakui telah menjual ratusan ‘kit bunuh diri’ ke seluruh dunia melalui beberapa forum dalam talian.

Pihak pendakwaan pada awalnya turut mengenakan pertuduhan membunuh, namun bersetuju untuk menggugurkan tuduhan berat tersebut atas faktor kekurangan bukti sebagai pertukaran kepada pengakuan bersalah Law bagi kesalahan yang lebih ringan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan itu mengundang kemarahan dan kecaman hebat, terutamanya dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan mangsa yang menyifatkan Law bertanggungjawab secara langsung atas kematian insan tersayang mereka.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memberi jaminan akan tetap menuntut hukuman yang berat.

“Hukuman keseluruhan yang setimpal dalam kes ini adalah penjara 25 tahun ditolak tempoh tahanan yang telah dijalani,” tegas Pendakwa Raya Mahkota, Katie Doherty, di hadapan mahkamah.

Peguam bela Law bagaimanapun membantah cadangan itu atas alasan tempoh tersebut secara efektifnya bersamaan dengan hukuman penjara seumur hidup memandangkan usia anak guamnya yang telah lanjut.

Dalam keterangannya, Law mengakui perbuatannya adalah ‘salah secara mutlak’ dan mendakwa dirinya telah ‘insaf’ sepanjang melalui proses perundangan tersebut.

“Saya tetap menyesal,” katanya ringkas.

Menurut Doherty, mahkamah lazimnya merujuk kepada kes-kes terdahulu yang setara dalam menentukan hukuman, namun tiada sebarang kes yang hampir serupa dengan tindakan tertuduh.

Mahkamah menetapkan 26 Februari ini untuk keputusan hukuman. Pendedahan mengenai skala operasi sindiket Law susulan penahanannya sebelum ini menggemparkan masyarakat Kanada.

Berdasarkan pernyataan fakta yang dipersetujui pihak pembelaan dan pendakwaan, tertuduh didapati menjual racun kepada pembeli di sekurang-kurangnya 41 negara termasuk China, Perancis, dan Brazil.

Daripada jumlah itu, 330 bungkusan dihantar ke United Kingdom yang dikaitkan dengan 79 kes kematian.

Law mengaku menyamar dalam forum sembang berkaitan bunuh diri untuk mengenal pasti individu yang berhasrat menamatkan riwayat hidup, sebelum mengarahkan mereka ke kedai dalam talian miliknya yang menjual bahan pengawet daging, natrium nitrit, pada kepekatan yang boleh membawa maut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini