Filipina berminat teroka model pendidikan tinggi Malaysia

Filipina berminat teroka model pendidikan tinggi Malaysia

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Filipina menyatakan hasrat untuk meneroka model pendidikan tinggi Malaysia dalam usaha memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, hasrat itu dizahirkan menerusi Forum Perkongsian dan Jaringan Pendidikan Tinggi Malaysia-Filipina di Universiti Negeri Pulau Bohol (BISU).

Forum itu disertai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bersama Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina (CHED), Dr. Shirley C. Agrupis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perbincangan turut memberikan penekanan kepada kepentingan kerjasama rentas sempadan antara universiti serta peranan pendidikan tinggi sebagai pemangkin transformasi dan peningkatan kualiti hidup masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zambry mengadakan lawatan kerja rasmi ke Filipina bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asia-Eropah Ke-10 (ASEMME10) yang berlangsung di Bohol, Filipina dari 24 hingga 26 November lalu.

Lawatan itu turut menyaksikan pelancaran inisiatif ASEAN-GEMS Plus (ASEAN-GEMS+) yang dibangunkan CHED dengan kerjasama Education Malaysia Global Services (EMGS) bagi menyediakan geran penyelidikan dan inovasi.

Menurut KPT, inisiatif itu memperluas skop ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEAN-GEMS) yang dipelopori Malaysia daripada tumpuan asal terhadap mobiliti pelajar kepada kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

“Setakat ini, ASEAN-GEMS berjaya mengumpulkan hampir 4,000 peluang biasiswa bernilai AS$198 juta bagi menyokong pelajar ASEAN melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Zambry dalam sesi panel sempena mesyuarat berkenaan turut berkongsi hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya dalam memanfaatkan kemajuan teknologi bagi membangunkan masyarakat yang adaptif.

“Dalam keghairahan mengejar kemajuan kecerdasan buatan (AI), kita tidak boleh mengabaikan keupayaan manusia untuk berfikir secara kritis, membuat pertimbangan dan membina hubungan sesama insan agar universiti terus mencorakkan perubahan serta memastikan kemajuan teknologi sentiasa berpaksikan nilai kemanusiaan,” katanya.

KPT berkata, penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan negara untuk memperkukuh kedudukan sebagai peneraju dan rujukan pendidikan tinggi di ASEAN, selain memperluas jaringan kerjasama strategik dengan negara-negara Asia dan Eropah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini