Sarat hamil tidak halang Aini naik pentas terima ijazah

Sarat hamil tidak halang Aini naik pentas terima ijazah

Sarat
SITI Nur Aini Najihah bergraduasi bersama Jamaludin Alfathoni pada Istiadat Konvokesyen Ke-28 UPSI di Tanjong Malim, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG MALIM: Pencapaian­ cemerlang dalam pengajian mendorong seorang ibu hadir ke Istiadat Konvokesyen Ke-28 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UOSI) di sini, semalam walaupun dalam keadaan sarat mengandung 35 minggu.

Siti Nur Aini Najihah Azauha, 24, menerima ijazah kelas pertama dan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88.

Katanya, saat itu menjadi istimewa, apabila dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) dengan Kepujian bersama-sama suami, Jamaludin Alfathoni, 24, dan dalam masa sama sedang menantikan kelahiran cahaya mata pertama mereka pada Disember ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun bimbang memikirkan keadaan fizikal, saya tetap teruja kerana konvokesyen itu menjadi pengalaman paling manis,” katanya ketika ditemui sempena istiadat berkenaan di Kampus Sultan Azlan Shah, semalam.

Siti Nur Aini Najihah yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata, dia memulakan pengajian di UPSI pada 2022 sementara kejayaan memperoleh kepujian kelas pertama dan anugerah dekan sepanjang tempoh pengajian merupakan kepuasan peribadi selepas mencurahkan usaha selama empat tahun.

Malah jelasnya, perjalanannya di menara gading bukan sekadar tentang kuliah, tugasan dan peperiksaan, malah universiti itu turut menjadi tempat dia bertemu pasangan hidupnya yang juga merupakan rakan sekelas dalam program Pendidikan Geografi.

Menurut Siti Nur Aini Najihah, dia dan Jamaludin mendirikan rumah tangga ketika menjalani Latihan Mengajar pada semester kelapan, sebelum disahkan hamil selepas tamat.

“Suami banyak memberikan sokongan ketika saya menjalani Latihan Mengajar, menguruskan tugasan pengajian dan menyelesaikan tanggungjawab sebagai mahasiswa. Sepanjang tempoh itu sehingga menamatkan pengajian, suami terus menjadi sumber kekuatan saya,” katanya.

Siti Nur Aini Najihah menambah, dia pernah terfikir untuk tidak menghadiri konvokesyen kerana menyedari keadaan kandungan yang semakin sarat, selain perlu melalui proses dan protokol sepanjang majlis.

Namun, keinginan untuk meraikan hasil usaha selama empat tahun mendorong beliau membuat persediaan sewajarnya, termasuk merancang perjalanan lebih awal, mendapatkan rehat mencukupi serta memastikan suami dan ahli keluarga sentiasa bersedia membantu.

Baginya, kejayaan itu membawa makna yang amat mendalam kerana menamatkan satu fasa kehidupan sebagai mahasiswa dan kini bersedia memikul tanggungjawab baharu sebagai seorang ibu.

“Saya berharap konvokesyen itu menjadi kenangan yang akan kami ceritakan kepada anak kami suatu hari nanti, bahawa ketika ibu menerima ijazah, dia juga berada bersama-sama ayah dan ibu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini