PETALING JAYA: Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini memasuki fasa penyelarasan akhir antara Malaysia dan Singapura sebelum dijangka dilancarkan pada awal 2027.
Kementerian Ekonomi berkata, persiapan itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama ekonomi, merancakkan aktiviti pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi rentas sempadan.
“Perkembangan pelaksanaan JS-SEZ turut menjadi antara agenda penting yang akan dibincangkan dalam Pemukiman Pemimpin Tahunan (ALR) Malaysia-Singapura yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan.
“Penyelarasan akhir berkenaan penting bagi memastikan pelaksanaan pelan induk itu dapat berjalan secara teratur dan lancar, sekali gus menyediakan hala tuju pembangunan zon ekonomi khas berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, pelancaran JS-SEZ dijangka menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara, khususnya dalam meningkatkan daya tarikan pelaburan serta memperluas peluang perniagaan di Johor dan Singapura. – UTUSAN











