NARATHIWAT (THAILAND): Perlembagaan Thailand tidak boleh menjadi syarat atau penghalang kepada usaha mengadakan dialog damai bagi menyelesaikan konflik berpanjangan di wilayah selatan negara itu.
Presiden Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Kasturi Mahkota berkata, kerajaan Thailand tidak sepatutnya mengehadkan rundingan damai kepada kerangka Perlembagaan negara itu kerana tindakan berkenaan boleh menyukarkan kedua-dua pihak mencapai kesepakatan.
Katanya, pihaknya telah lama menyedari bahawa dialog antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) akan berkisar di bawah perlembagaan negara itu.
“Ini bukan perkara baharu. Dari dahulu lagi rundingan Thailand dengan BRN selalunya berkisar di bawah perlembagaan negara itu. Tindakan ini akan menghalang kesepakatan di meja rundingan hingga dialog tidak membawa apa-apa keputusan.
“PULO cuba memperbetulkan perkara ini, kerana kami lihat jika rundingan terus diadakan mengikut perlembagaan, susah bagi kedua-dua pihak untuk mencapai kesepakatan. Ia tidak sepatutnya menjadi syarat rundingan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perdana Menteri Thailand, Wan Muhammad Noor Matha yang menetapkan syarat dialog damai itu mesti mengikut perlembagaan.
Dalam kenyataan selepas pertemuan dengan fasilitator baharu Malaysia di Bangkok baru-baru ini, Wan Muhammad Noor turut menolak permintaan BRN bagi mendapatkan autonomi penuh tiga wilayah Selatan Thai.
Mengulas lanjut Kasturi berkata, PULO tidak mengambil berat perkataan ‘autonomi’, sebaliknya apa yang penting ialah persetujuan yang dicapai di meja rundingan.
Beliau juga masih berharap agar PULO dapat turut serta dalam fasa baharu dialog damai kerana berpendapat penyertaan kumpulan pejuang pembebasan Selatan Thailand lain dan suara masyarakat tempatan perlu diberi perhatian yang lebih luas.
Sementara itu, beliau berkata, PULO menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa agar terus memberikan perhatian kepada isu Selatan Thailand serta menyokong usaha melindungi hak asasi manusia, hak minoriti dan dialog politik yang menyeluruh.
Seruan itu dibuat menerusi penyertaannya dalam Forum Minoriti PBB ke-19 di Geneva anjuran Pejabat Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR). Forum itu diadakan mulai Rabu dan berakhir semalam.
“Kami menegaskan bahawa proses perdamaian mestilah inklusif, dengan memberi peluang kepada semua gerakan Patani dan pihak berkepentingan untuk turut serta sebagai rakan kongsi dalam mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan,” tegas beliau. – UTUSAN











