BAITULMUQADDIS: Menteri Pertahanan sementara Israel, Israel Katz mengancam untuk mengusir sejuta rakyat Palestin di Gaza sekiranya Hamas enggan melucutkan senjatanya.
Ancaman terbaharu Katz dibuat ketika tentera Israel meningkatkan operasi pembunuhan bersasar di wilayah Palestin berkenaan, walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.
“Pemimpin Hamas dan semua pihak yang terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober 2023 sedang diburu dan dijejaki,” tulis Katz menerusi platform X.
Mengikut syarat gencatan senjata yang diusahakan Presiden AS, Donald Trump dan berkuat kuasa pada Oktober 2025, tentera Israel dibenarkan kekal menguasai 53 peratus wilayah Gaza.
Bagaimanapun, Katz mendakwa 70 peratus wilayah Gaza sudah musnah dan berada di bawah kawalan tentera Israel.
“Penguasaan Hamas terhadap baki 30 peratus wilayah itu hanyalah satu ilusi.
“Sama ada mereka menyerahkan senjata secara sukarela dan Gaza dijadikan wilayah bebas ketenteraan mengikut rancangan Trump, atau tentera Israel akan melucutkan senjata mereka menerusi Operasi Kereta Perang Gideon II, termasuk mengusir semula sejuta penduduk Gaza ke selatan,” katanya.
Operasi berkenaan merujuk kepada serangan yang dilancarkan pada Ogos 2025 bagi menawan Gaza City.
Pada Julai lalu, Hamas mengumumkan persetujuan terhadap satu perjanjian yang membabitkan penyerahan senjatanya kepada jawatankuasa teknokrat Palestin di bawah Lembaga Keamanan yang ditugaskan menyelia pelaksanaan gencatan senjata.
Bagaimanapun, Israel masih sangsi terhadap komitmen itu, dengan Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu, menuntut pelucutan senjata sepenuhnya yang boleh disahkan sebelum sebarang pengunduran tentera dilakukan.
Sementara itu, tentera Israel terus menyasarkan pegawai Hamas di Semenanjung Gaza, terbaharu membunuh Timbalan Menteri Pendidikan Gaza, Khaled Abu Nada.
Tentera rejim Zionis mendakwa Khaled bertanggungjawab sebagai pegawai kanan kewangan Hamas yang menguruskan sistem perbankan dan pelaburan serta menyalurkan dana untuk aktiviti pertahanan bagi memperkukuh kekuatan ketenteraan kumpulan itu.
Pembunuhan Khaled berlaku dua hari selepas serangan udara Israel membunuh ketua keselamatan dalam negeri Hamas, diikuti ketua keselamatan Gaza utara dan keluarganya sehari kemudian.-AFP











