Perang heret perdagangan laut dunia ke paras sifar

Perang heret perdagangan laut dunia ke paras sifar

PERENANG Britain, Lewis Pugh melihat kapal tangki terbakar di Selat Hormuz.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Perdagangan maritim global yang mengangkut lebih 80 peratus barangan dunia dijangka tidak mencatatkan sebarang pertumbuhan pada 2026 susulan gangguan perkapalan dan ketidaktentuan perdagangan akibat perang di Asia Barat, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Agensi Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) berkata, perdagangan maritim diunjurkan mencatatkan pertumbuhan sifar pada 2026, berbanding peningkatan 1.9 peratus pada 2025.

Gangguan berterusan terhadap pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia serta komoditi strategik lain seperti baja, selain peluasan konflik ke Laut Merah terus menjejaskan perdagangan dan menyebabkan harga minyak mengalami turun naik ketara sejak akhir Februari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut UNCTAD, sebelum gangguan berlaku, kira-kira 120 kapal melintasi Selat Hormuz setiap hari. Namun, menjelang awal Mac, jumlah pergerakan kapal berdasarkan tan kasar merosot kira-kira 95 peratus.

Ketidakstabilan di Laut Merah turut memaksa banyak kapal menggunakan laluan lebih jauh mengelilingi Tanjung Harapan, selain gangguan penghantaran bijirin di Laut Hitam dan melalui Terusan Panama.

“Gangguan terhadap laluan perkapalan utama dan titik sempit strategik memanjangkan tempoh pelayaran, meningkatkan kos operasi serta ketidaktentuan kadar tambang, selain menambah tekanan terhadap rantaian bekalan, khususnya di negara membangun,” menurut agensi itu.

UNCTAD berkata, penggunaan pelabuhan lain, rangkaian pengangkutan darat dan penyelesaian logistik baharu membantu memastikan perdagangan terus berjalan, namun pada kos yang lebih tinggi.

Perdagangan melalui laut mencecah 12.3 bilion tan pada 2025, meningkat 1.9 peratus berbanding pertumbuhan 3.9 peratus pada 2024. Bagaimanapun, UNCTAD mengunjurkan pertumbuhan sifar pada 2026.

Ketua sementara UNCTAD, Pedro Manuel Moreno berkata, simulasi agensi itu menunjukkan sekiranya kejutan harga bahan api seperti yang berlaku ketika ini berterusan hingga 2027, peningkatan kos perkapalan sahaja boleh menyebabkan kenaikan harga pengguna di negara paling kurang membangun hampir dua kali ganda berbanding purata peningkatan global.

Menghadapi cabaran itu, UNCTAD menggesa peralihan daripada pendekatan yang hanya bertindak balas ketika krisis berlaku kepada strategi berasaskan persediaan dan keupayaan menyesuaikan diri.

“Ketahanan tidak boleh hanya bergantung pada usaha mencari laluan alternatif setiap kali krisis berlaku,” kata Moreno kepada pemberita di Geneva.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan persediaan lebih baik, kerjasama antarabangsa lebih kukuh, peraturan yang dapat dijangka serta pelaburan bagi memperkukuh armada perkapalan global pada masa depan.

UNCTAD turut menggesa kerajaan dan industri bekerjasama memperkukuh daya tahan dalam perancangan, operasi serta pelaburan sektor perkapalan dan pelabuhan, selain melindungi keselamatan pelayaran serta pelaut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini