SEREMBAN: Pendakwaan kes hasutan membabitkan Undang Luak Sungei Ujong yang dipertikaikan, Datuk Mubarak Thahak @ Dohak di Mahkamah Sesyen digantung sementara bagi membolehkan persoalan bidang kuasa mahkamah diputuskan Mahkamah Tinggi.
Keputusan itu dibuat Hakim Tasnim Abu Bakar selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan pihak pembelaan berhubung bidang kuasa Mahkamah Sesyen untuk mendengar pertuduhan terhadap tertuduh.
Tasnim berkata, permohonan itu dibenarkan berdasarkan Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan penggantungan prosiding serta penghantaran rekod prosiding ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan persoalan berkaitan peruntukan Perlembagaan dan isu dibangkitkan pembelaan ditentukan.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari tahun depan bagi pengurusan kes.
Dalam prosiding sama, pihak pembelaan turut memohon supaya Mubarak dikecualikan daripada menghadiri prosiding akan datang sehingga persoalan perlembagaan berkenaan diputuskan.
Bagaimanapun, hakim berkata, permohonan itu bergantung kepada keputusan atau status permohonan sama di Mahkamah Tinggi kelak.
Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Husni Fairos Ramly dan Anas Bashari.
Mubarak pula diwakili pasukan peguam diketuai Asmawi Ismail, Emirul Sarifudin Nor Azmi, Dr Hanif Hassan, Deidra Nur Azmi, Nabila Nur Azmi, Fathin Syuhadah Mohamad Yasin dan Vel Manoharan.
Terdahulu , media melaporkan Mubarak bakal didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah hujahan pembelaan yang mempertikaikan bidang kuasa mahkamah berdasarkan kedudukan Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Shahrizat berkata, Mubarak telah diberhentikan daripada jawatan berkenaan pada 13 Mei 2025, iaitu sebelum tarikh kejadian yang menjadi asas kepada pertuduhan.
Katanya, perkara itu turut disahkan menerusi Warta Kerajaan Negeri Sembilan yang diterbitkan pada Oktober lalu.
“Tertuduh dalam kes ini bukan lagi dalam kapasiti Undang Luak Sungei Ujong, maka hujahan pembelaan tidak lagi terpakai. Warta Kerajaan Negeri jelas menunjukkan tertuduh telah diberhentikan daripada jawatan sejak Mei tahun lalu,” katanya.
Sehubungan itu, Husni memohon mahkamah menolak bantahan awal berkenaan dan membenarkan kes diteruskan di Mahkamah Sesyen.
Beliau turut memohon supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Mubarak atas alasan tertuduh gagal hadir ke mahkamah tanpa memberikan alasan munasabah.
Bagaimanapun, Hanif ketika berhujah berkata, Warta Kerajaan berkenaan hanya bersifat hebahan dan tidak mempunyai sifat mengikat.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kesahan keanggotaan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu.
Katanya, persoalan itu timbul susulan kewujudan perintah sekatan sementara atau ad-interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Seremban, sekali gus menghalang enam daripada lapan ahli termasuk Mubarak daripada menghadiri sidang DKU berkenaan. – UTUSAN








