KUALA PILAH: Pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kesemua pihak perlu menjunjung titah baginda dan memperkukuh kesetiaan kepada institusi diraja bagi memastikan kemelut yang berlaku sebelum ini tidak berulang.
Katanya, beliau tidak kecewa kerana tidak dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menerima keputusan berkenaan yang merupakan prerogatif Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.
“Saya sudah beritahu awal-awal, soal untuk menjadi Menteri Besar atau tidak, ini adalah prerogatif kepada Presiden parti dan juga perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Besar.
“Kita harus ingat ini. Jadi sebagai rakyat dan juga sebagai pemimpin parti, saya menjunjung kasih kepada titah Tuanku,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa hasratnya untuk menjadi Menteri Besar tidak kesampaian.
Jalaluddin berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perasaan kecewa berhubung perkara itu serta menerima perkembangan berkenaan dengan hati terbuka.
“Kalau saudara-saudari lihat, saya okey, I’m okay dan saya tidak mempunyai sebarang rasa kekecewaan dan sebagainya.
“Tinggal lagi ceplos dan sebagainya itu adalah merupakan tanggungjawab mereka. Kalau tak, mereka tak ada kerja pula,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak khususnya ceplos-ceplos agar menghentikan perang psikologi yang berterusan susulan kemelut politik negeri kerana perkara itu tidak lagi membantu usaha memperkukuh pentadbiran kerajaan.
Katanya, semua pihak perlu memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.
“Perang psikologi ini harus dihentikan oleh semua pihak yang terlibat kerana suka atau tidak, kita harus memberikan sokongan total kepada kerajaan.
“Matlamat kita semua sama untuk melihat pembangunan kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN











