Johor tidak 'korban' keselesaan rakyat demi tarik pelaburan - Onn Hafiz

Johor tidak ‘korban’ keselesaan rakyat demi tarik pelaburan – Onn Hafiz

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Bekalan air, tenaga dan kelestarian alam sekitar yang menyokong kesejahteraan rakyat Johor tidak akan dikorbankan demi menarik pelaburan asing ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bekalan air, kecukupan tenaga dan kelestarian alam sekitar adalah perkara yang langsung tidak boleh dikompromi mana-mana pihak.

“Kita tubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) pada April 2024, setahun lebih awal daripada penubuhan Data Centre Task Force (DCTF) di peringkat Persekutuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jawatankuasa itu akan meneliti dan membuat penilaian terhadap keperluan air, elektrik, teknologi hijau dan kapasiti infrastruktur bersama agensi teknikal seperti BAKAJ, Ranhill SAJ, Johor Special Water (JSW) dan TNB.

“Ini bermakna, hanya permohonan yang memenuhi penilaian teknikal akan diluluskan dan seterusnya dikemukakan bagi proses Kebenaran Merancang,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap turut berkata, setakat ini terdapat 19 pusat data yang beroperasi di Johor dengan kelulusan bekalan air terawat 21 juta liter sehari (JLH), berbanding permohonan asal sebanyak 73 juta liter sehari.

“Sebagai perbandingan, purata pengeluaran air terawat negeri ialah 2,034 juta liter sehari. Jumlah bekalan yang diluluskan kepada pusat data tersebut bersamaan kira-kira 1.05 peratus daripada pengeluaran air terawat negeri.

“Sehubungan itu, saya ingin perbetulkan dakwaan dan tohmahan ditularkan pihak tidak bertanggungjawab kononnya pembangunan pusat data menjadi punca yang menjejaskan bekalan air kepada rakyat Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini