Polis Perak gempur sarang dadah, 372 ditahan - Utusan Malaysia

Polis Perak gempur sarang dadah, 372 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 372 individu termasuk 33 warga asing ditahan menerusi Op Tapis Khas selepas ‘sarang’ penagihan dadah di seluruh negeri digempur polis selama tiga hari sejak Isnin lalu.

Operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan Daerah serta lain-lain bahagian polis termasuk Pasukan Gerakan Marin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin, dalam operasi sepanjang tiga hari itu, lokasi penagihan dadah yang diserbu termasuk di kawasan Felda, Felcra, ladang swasta, flat, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan jeti nelayan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, dalam tempoh itu, seramai 356 lelaki dan 16 wanita berusia antara 14 hingga 70 tahun ditahan selain 33 orang warga asing dari Indonesia, Thailand, Myanmar dan Vietnam.

“Daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 66 orang ditahan bagi kesalahan pengedaran dadah, 206 orang bagi kesalahan memiliki dadah dan 100 penagih dadah.

“Dalam operasi semalam, tiga individu dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki ditahan selain dua orang penagih tegar dikenal pasti dan akan tindakan diambil mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, serbuan melibatkan 248 pegawai dan anggota yang dijalankan serentak di seluruh negeri itu juga membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dan kenderaan.

“Kita berjaya merampas lebih tiga kilogram dadah jenis heroin, syabu, ganja, ketamin, pil erimin 5, daun ketum dan 126.10 liter cecair ketum serta 0.18 liter kodien.

“Selain itu, polis turut menyita sebuah motosikal dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM4,700,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini