Dua warga Itali maut serangan di Kuwait, Iran nafi terlibat

Dua warga Itali maut serangan di Kuwait, Iran nafi terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUWAIT: Dua warga Itali maut dalam serangan ke atas sebuah fasiliti di Kuwait yang disifatkan oleh kedua-dua negara sebagai serangan Iran.

Kementerian Luar Itali berkata, kedua-dua mangsa merupakan juruteknik yang bekerja untuk syarikat pengeluar senjata Jerman, Rheinmetall.

Iran bagaimanapun menafikan bertanggungjawab terhadap serangan itu, dengan Menteri Luar, Abbas Araghchi menyifatkan insiden berkenaan sebagai mencurigakan dan berkata, Teheran akan bekerjasama dengan Kuwait serta Itali bagi menentukan punca kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kementerian Pertahanan Kuwait sebelum ini berkata, empat individu termasuk dua warga Itali, seorang warga Kuwait dan seorang warga Pakistan cedera akibat serpihan selepas beberapa dron dari Iran dikesan dan dipintas.

Insiden itu berlaku lebih seminggu selepas Kuwait memaklumkan berjaya mematahkan serangan dron Iran pada waktu malam ke atas sebuah pangkalan udara yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS), iaitu serangan pertama ke atas negara itu dalam tempoh lebih dua bulan.

Pertempuran antara AS dan Iran serta kebuntuan rundingan meningkatkan kebimbangan konflik itu akan semakin memuncak.

Pada Khamis, Araghchi berkata, beliau menyampaikan ucapan takziah kepada rakan sejawatnya dari Itali dan Kuwait menerusi panggilan telefon, selain menyifatkan insiden itu sebagai provokasi yang dirancang terlebih dahulu untuk mencetuskan perang’, tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Sebelum itu, jurucakap angkatan tentera Iran, Abolfazl Shekarchi berkata, tiada operasi ketenteraan atau serangan dilakukan oleh Iran.

Tentera Kuwait pula menyifatkan serangan terbaru itu menyasarkan lokasi penting di negara berkenaan dan merupakan pencerobohan keji Iran, selain mengesahkan kematian dua warga Itali tersebut.

Kementerian Luar Itali berkata, hasil siasatan menunjukkan dron yang digunakan dalam serangan berkenaan dibuat di Iran, selain kumpulan proksi Iran diketahui melakukan serangan di rantau itu.

Kumpulan Rheinmetall dalam kenyataan mengesahkan kematian dua pekerjanya dan menyatakan rasa dukacita mendalam atas kehilangan mereka.

“Dua pekerja yang amat dihargai kehilangan nyawa ketika menjalankan tugas profesional mereka, ketika memberikan sokongan teknikal kepada sistem pertahanan udara,” menurut syarikat itu.

Menurutnya, usaha melindungi penduduk di negara berkenaan amat penting bagi kedua-dua pekerja tersebut.

“Pihak pengurusan dan seluruh tenaga kerja syarikat amat berdukacita kerana rakan sekerja kami kini kehilangan nyawa,” katanya.

Media Itali melaporkan identiti kedua-dua mangsa, dengan seorang daripada mereka berusia 36 tahun manakala seorang lagi berusia 65 tahun dan hampir bersara.

Menurut agensi berita Itali, Ansa, kedua-dua lelaki itu menjalankan kerja penyelenggaraan sistem yang digunakan oleh Angkatan Tentera Kuwait, berdasarkan maklumat daripada Kementerian Luar Itali.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menerusi platform X menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa serta semua pihak yang terkesan akibat serangan itu.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pula berkata, tekanan terhadap Iran perlu ditingkatkan supaya negara itu menghentikan serangan yang tidak boleh diterima terhadap negara jiran dan rakan Eropah di Teluk.

“Peristiwa hari ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa keselamatan di Teluk adalah isu keselamatan bagi kita semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini