PETALING JAYA: AIZO Group Berhad (AIZO) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak enam peratus kepada RM35.97 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2026 (S1 TK2027), berbanding RM33.94 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu didorong prestasi lebih kukuh segmen kejuruteraan awam yang kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, dengan pendapatan meningkat 18 peratus kepada RM26.18 juta berbanding RM22.12 juta sebelumnya.
Segmen berkenaan mencatatkan keuntungan operasi RM310,000, disokong peningkatan jumlah kerja daripada projek yang sedang dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, segmen produk bitumen terus memperbaiki prestasi keuntungan apabila keuntungan operasi meningkat 17 peratus kepada RM640,000 berbanding RM550,000 pada suku sama tahun lalu.
Bagaimanapun, hasil segmen itu menyusut kepada RM8.01 juta berbanding RM9.66 juta sebelumnya, namun strategi penetapan harga yang berkesan membantu mengekalkan margin keuntungan.
Di peringkat kumpulan, kerugian sebelum cukai (PBT) mengecil 28 peratus kepada RM2.81 juta berbanding RM3.89 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026 (S4 TK2026), susulan pengurangan kos operasi.
Perbelanjaan pentadbiran turut berkurangan kepada RM4.91 juta berbanding RM5.24 juta pada suku pertama tahun kewangan sebelumnya.
Bagaimanapun, berbanding kerugian sebelum cukai RM1.42 juta dalam suku sama tahun lalu, prestasi semasa terjejas oleh peningkatan kos kewangan sebanyak RM1.50 juta serta penjanaan tenaga lebih rendah di loji solar kumpulan susulan gangguan operasi sementara dan keadaan cuaca buruk.
Pengarah Eksekutif AIZO, Ahmad Rahizal Datuk Ahmad Rasidi berkata, kumpulan memulakan tahun kewangan 2027 dengan prestasi hasil yang lebih baik, khususnya menerusi pertumbuhan perniagaan kejuruteraan awam dan peningkatan keuntungan segmen bitumen.
Katanya, kumpulan turut berjaya memperkukuh kedudukan tunainya dengan ketara sepanjang suku berkenaan hasil kutipan pembayaran yang lebih kukuh.
“Pengurangan modal saham kini selesai dan penempatan persendirian sedang berjalan, sekali gus membolehkan kami merasionalisasikan struktur modal serta berada pada kedudukan lebih baik untuk meneruskan pertumbuhan.
“Gangguan operasi di loji solar kami hanya bersifat sementara dan kami akan terus berdisiplin dalam pemilihan projek, pelaksanaan serta kawalan kos bagi memperkukuh buku pesanan,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi kedudukan kewangan, tunai bersih yang dijana daripada aktiviti operasi melonjak kepada RM18.24 juta pada suku pertama TK2027 berbanding RM1.82 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu didorong kutipan lebih kukuh apabila penghutang perdagangan berkurangan kepada RM22.20 juta pada 30 September 2026 berbanding RM40.16 juta pada 30 Jun 2026.
Susulan itu, baki tunai dan bank kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM37.07 juta pada akhir September 2026 berbanding RM18.15 juta pada penghujung tahun kewangan 2026.
Dalam perkembangan korporat, AIZO menyelesaikan pengurangan modal saham sebanyak RM75 juta pada 13 Oktober 2026 bagi menghapuskan kerugian terkumpul dan meningkatkan keupayaan syarikat mengisytiharkan dividen pada masa hadapan, tertakluk kepada kedudukan kewangan dan kesesuaian.
Syarikat turut menyelesaikan dua peringkat penempatan persendirian membabitkan penerbitan 130 juta saham dan mengumpul hasil kasar kira-kira RM3.90 juta.
Selain itu, AIZO memperoleh lanjutan masa daripada Bursa Malaysia Securities Berhad sehingga 15 April 2027 untuk menyelesaikan penempatan persendirian serta terbitan hak boleh lepas bersama waran boleh tanggal percuma.
Mengulas prospek, kumpulan kekal positif terhadap prestasinya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (TK2027), disokong peruntukan pembangunan kerajaan dan perkembangan sektor pembinaan negara.
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan menerusi Belanjawan 2027, meningkat daripada RM81 bilion pada 2026.
Selain itu, sektor pembinaan berkembang 6.5 peratus pada suku kedua 2026 dengan aktiviti kejuruteraan awam menjadi penyumbang terbesar kepada nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan.-UTUSAN











