KALAU kita menjengah dalam grup perbincangan penjagaan ibu bapa sakit dalam media sosial terutamanya Facebook, kita akan membaca banyak rintihan dan kepayahan anak-anak bukan kerana mereka enggan menjaga tetapi kerana hanya mereka saja ‘terpilih’ untuk itu sedangkan adik beradik lain mencipta seribu macam alasan dan ‘bertolak-tolak’ apabila diminta mengambil alih tugas walaupun untuk sehari dua.
Itulah kebiasaan-kebiasaan zaman ini yang sepatutnya menjadi tabiat luar biasa apabila anak-anak menolak untuk menjaga ibu bapa sakit atau sudah tua kerana hanya memikirkan urusan anak, isteri atau suaminya saja.
Sedangkan sewaktu kita kecil, demam sedikit pun emak dan ayah tidak tidur malam. Dituamnya dahi dengan tuala basah, disuapnya bubur nasi walaupun tekak anak pahit menolak, malah bergolok-gadai mencari duit memberikan pendidikan atau mahu memenuhi keperluan anak, asalkan anak membesar dengan sempurna.
Namun hari ini, apabila giliran ibu bapa pula diuji dengan usia senja dan keuzuran, segala pengorbanan itu bagaikan tidak pernah terlintas di fikiran mereka. Masing-masing ‘berkira’ walaupun sebenarnya bukan sibuk sangat. Balik rumah selepas kerja pun hanya menonton televisyen.
“Aku sibuk kerja, anak-anak pun nak sekolah.”
“Kau kan duduk dekat dengan kampung, kau sahajalah yang tengok-tengokkan mak.”
“Rumah aku sempit, nanti susah mak nak bergerak.”
Dialog-dialog seperti ini bukan lagi asing dalam grup WhatsApp keluarga zaman sekarang. Apabila ibu atau bapa jatuh sakit, mulalah tuding-menuding jari dan tolak-menolak tanggungjawab.
Masing-masing sibuk membentangkan alasan sehingga akhirnya, orang tua yang pernah membesarkan lima atau enam orang anak itu terasa seperti beban berat yang sukar dianjak dan diangkat.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) setakat pertengahan tahun 2026, daripada anggaran 34.4 juta penduduk negara ini, sekitar 2.9 juta orang atau 8.4 peratus terdiri daripada golongan warga emas berusia 65 tahun ke atas. Malah, jika dihitung kumpulan berusia 60 tahun dan ke atas, angkanya sudah pun mencecah lebih 4.1 juta orang.
Negara kita sedang laju menuju status negara tua menjelang 2036 hingga 2044 apabila komposisi warga emas melepasi 15 peratus. Sebanyak 12 daripada 16 negeri dan Wilayah Persekutuan kini sudah pun berstatus masyarakat menua.
Persoalannya, bersediakah kita daripada segi mental, fizikal dan moral?
Bayangkan, dengan populasi warga emas yang semakin membengkak ini, di manakah kedudukan dan maruah mereka jika anak-anak terus bersikap lepas tangan dan bertolak-tolak?
Jika melihat trend di hospital-hospital kerajaan, ia amat menyedihkan. Fenomena bed-blocking ini bukan lagi rahsia.
Rekod Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan kes pesakit ditinggalkan melonjak 50 peratus daripada 239 kes pada 2020 kepada 358 kes pada 2023, dengan trend yang berterusan sehingga kini.
Malah, isu ini turut mendapat perhatian di Dewan Negara pada Julai lalu apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan bahawa hospital awam bukanlah tempat untuk anak-anak ‘menyimpan’ ibu bapa yang uzur secara jangka panjang.
Lebih menyayat hati, dalam banyak kes pengabaian ini, warga emas terbabit sanggup berbohong kepada pihak hospital dengan mendakwa tiada keluarga bukan kerana mereka benar-benar sebatang kara, tetapi kerana mahu menjaga air muka anak-anak yang sudah tidak mahu menjenguk! Sampai begitu sekali kasih sayang seorang tua, masih mahu menutup aib zuriat sendiri walaupun hati mereka hancur berkecai.
Pun begitu, dalam pada kita mengecam sikap anak yang culas menjalankan tanggungjawab, ada satu lagi sisi realiti yang jarang dibincangkan secara jujur. Bagaimana pula dengan nasib seorang anak yang terpaksa memikul beban itu seorang diri kerana adik-beradik lain hanya tahu lepas tangan?
Ramai dalam kalangan penjaga utama (caregiver) hari ini sebenarnya sedang bergelut dengan keletihan melampau atau burnout secara senyap. Mereka bukan tidak ikhlas menjaga syurga mereka, tetapi kudrat manusia ada batasnya.
Yelah, rutin seorang anak yang bekerja pada waktu siang, pulang ke rumah terus menyingsing lengan memandikan ibu yang terlantar, menukar lampin pakai buang, menyuap makan, dan berjaga tengah malam apabila orang tua meracau atau kesakitan. Pada masa yang sama, dia juga perlu menguruskan rumah tangga dan anak-anak sendiri.
Saya pernah menulis sebelum ini, bagaimana seorang perempuan yang masih muda, usia dalam 20-an merasa mentalnya sendiri tidak sihat akibat terlalu lama dia dibiarkan sendiri menjaga ibu bapanya yang sakit sedangkan dalam usia muda sebegitu, kawan-kawan sebayanya semua bekerja dan ada masa untuk ‘me time’ nya sendiri.
Apa yang lebih memedihkan hati, adik-beradik yang jarang menjenguk pula sering kali menjadi ‘pengkritik paling lantang’. Datang melawat setahun sekali sekadar bertanya khabar, tetapi komplennya mengalahkan pengarah hospital. “Kenapa mak nampak kurus?”, “Kenapa cadar ini berbau?”, sedangkan hulur duit belanja lampin dan susu khas pun berkira-kira.
Tekanan emosi, fizikal dan kewangan yang berterusan tanpa sokongan ini akhirnya meragut kesihatan mental si penjaga. Ada yang terpaksa berhenti kerja, kehilangan sumber pendapatan, dan akhirnya jatuh sakit bersama-sama orang tua yang dijaga.
Jadi, sampai bila kita mahu membiarkan kemelut ini berlarutan? Isu penjagaan warga emas bukan lagi masalah peribadi satu dua keluarga, sebaliknya sudah menjadi krisis sosial yang memerlukan jalan penyelesaian tuntas daripada semua pihak.
Pertama, anak-anak perlu duduk berbincang secara matang mengenai sistem penggiliran yang adil. Jika ada adik-beradik yang benar-benar tidak mampu menjaga secara fizikal atas faktor jarak atau tuntutan kerja, janganlah lepas tangan seratus peratus. Gantikanlah dengan sumbangan kewangan yang setimpal untuk menampung kos perubatan, lampin, susu, atau mengupah pembantu penjagaan harian.
Jangan biarkan seorang sahaja yang berkorban masa, tenaga dan duit.
Kedua, masyarakat kita perlu membuang stigma kolot bahawa menghantar ibu bapa ke pusat jagaan harian warga emas (daycare) atau menggunakan khidmat jururawat persendirian bermakna kita anak derhaka.
Dalam dunia moden hari ini, pusat jagaan harian yang bertauliah mampu memberi ruang untuk penjaga utama berehat seketika dan bekerja, sementara warga emas pula mendapat penjagaan profesional serta rakan sebaya untuk berinteraksi pada waktu siang sebelum pulang ke pangkuan keluarga pada sebelah petang.
Ketiga, kerajaan dan majikan perlu memperkukuh ekosistem ekonomi penjagaan (care economy).
Dasar kerja anjal, cuti khas menjaga ahli keluarga sakit, serta pelepasan cukai yang lebih meluas untuk kos penjagaan ibu bapa uzur wajar diperkasakan agar anak-anak yang menjaga orang tua tidak terhimpit dari segi kerjaya dan kewangan.
Selain itu, peranan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap komuniti perlu diperluas bagi memastikan warga emas yang masih sihat kekal aktif dan tidak kesunyian.
Hidup ini ibarat roda. Hari ini kita melihat ibu dan ayah kita berjalan bertongkat, makan bersuap, dan merengek seperti anak kecil. Sedarlah bahawa suatu hari nanti, jika dipanjangkan umur, kitaran itu pasti akan sampai kepada kita pula.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia











