Sindiket seludup syabu guna pesawat tentera 21 kali -Saifuddin

Sindiket seludup syabu guna pesawat tentera 21 kali – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sindiket dadah melibatkan anggota tentera udara menggunakan pesawat tentera sebanyak 21 kali menyeludup methamphetamine dengan anggaran nilai pasaran RM156 juta sebelum berjaya ditumpaskan minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri  Saifuddin Nasution Ismail berkata, sindiket di Tawau menggunakan aset tentera tujuh kali dan menyeludup 1.8 tan metrik methamphetamine.

Sementara itu, katanya, sindiket di Labuan pula menggunakan aset tentera 14 kali bagi menyeludup 1.2 tan metrik dadah dan kegiatan itu dikesan sejak Ogos tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tahan 13 individu termasuk tujuh anggota TUDM serta enam orang awam. Kita rampas 96.64 kilogram metamfetamin bernilai RM4.83 juta. Meskipun ketua sindiket masih bebas, namun sudah kenal pasti, saya yakin dalam sedikit masa akan ditangkap.

“Setakat ini, hala tuju siasatan menuju kepada jenayah terancang dan sebagainya. SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas] 2012) juga akan digunakan.

“Kita luaskan siasatan untuk kenal pasti penglibatan seluruh organisasi ini dan peranan setiap individu yang terlibat. Siapa pembiayanya, siapa perancangnya, siapa berperanan sebagai transporter dan semuanya,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kaedah sindiket penyeludupan dadah mengeksploitasi kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa.

Pada minggu lalu, polis menahan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran 96.64 kg dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta.

Menurut Saifuddin, kegiatan penyeludupan itu dipercayai didorong keuntungan lumayan apabila harga methamphetamine bernilai RM50,000 sekilogram di pasaran tempatan boleh mencecah RM250,000 di Indonesia dan RM450,000 di pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, siasatan yang sedang dijalankan berpotensi membongkar rangkaian jenayah terancang lebih besar, termasuk kemungkinan penglibatan individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat.

“Berdasarkan taklimat awal diberikan kepada saya, ada beberapa nama yang berpotensi atau mereka yang kita fikir ada kedudukan dalam masyarakat dan sebagainya, akan kita ambil juga tindakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini