Aroma pes tomyam yang harum bersama daun limau purut, cili padi dan perahan limau nipis pastinya membangkitkan selera sesiapa sahaja.
Apatah lagi apabila digabungkan dengan ayam goreng yang rangup di luar, tetapi masih lembut di dalam.
Hidangan ayam goreng tomyam ini menawarkan rasa unik berlainan daripada tomyam kebiasaan dengan gabungan rasa pedas, masam dan sedikit manis yang cukup menyelerakan.
Kuah tomyam yang pekat meresap pada setiap bahagian ayam, menjadikan hidangan ini cukup istimewa untuk dinikmati bersama nasi putih panas.
Lebih menarik, ia mudah disediakan dengan bahan-bahan yang biasanya memang ada di dapur.
Tentunya, resipi perkongsian Zizie Fazeera ini boleh menjadi pilihan buat mereka yang ingin mencuba kelainan menu ayam di rumah pada hari minggu ini. Jom cuba.
Bahan-bahan:
• 1/2 ekor ayam
• Garam
• 1 sudu besar serbuk kunyit
• 1 biji bawang merah
• 3 ulas bawang putih
• 1 sudu besar cili kisar
• 1 sudu besar pes tomyam
• Air secukupnya
• 1 sudu besar sos cili
• ½ sudu besar gula
• ½ sudu besar perasa
• Beberapa helai daun lima purut
• 3-5 biji cili padi
• Daun ketumbar secukupnya
• Perahan limau nipis
Cara penyediaan:
• Gaulkan ayam bersama garam dan serbuk kunyit sehingga sebati. Kemudian, goreng ayam sehingga masak dan sedikit garing. Angkat dan ketepikan.
• Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumiskan bawang merah dan bawang putih yang telah dikisar atau dicincang sehingga naik bau.
• Masukkan cili kisar dan pes tomyam. Tumis sehingga pecah minyak dan bahan tumisan menjadi sedikit garing.
• Tambahkan sedikit air, sos cili, gula, garam dan perasa secukupnya. Kacau sehingga semua bahan sebati.
• Masukkan daun limau purut dan ayam tadi. Biarkan kuah mendidih seketika sehingga sedikit pekat.
• Kemudian, masukkan cili padi dan gaul sehingga keseluruhan ayam disaluti dengan kuah tomyam.
• Akhir sekali, masukkan daun ketumbar dan perahan limau nipis. Gaul sebentar sebelum tutup api.
• Angkat dan hidangkan ayam goreng tomyam ketika masih panas.-UTUSAN











