Pertama kali Sabri Yunus berdikir barat dengan robot - Utusan Malaysia

Pertama kali Sabri Yunus berdikir barat dengan robot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka seni dikir barat yang sinonim dengan tradisi dan budaya Melayu mampu bergandingan dengan teknologi robotik? Pengalaman unik itu dilalui pelakon dan penggiat seni, Sabri Yunus, apabila buat pertama kali berdikir barat bersama robot humanoid, Nexora.

Lebih menarik, persembahan yang menggabungkan seni tradisional dengan teknologi moden itu hanya sempat dilatih sekali pada malam sebelum acara berlangsung.

Sabri berkata, pengalaman berkenaan menjadi sesuatu yang baharu dan cukup menyeronokkan buat dirinya, apatah lagi apabila persembahan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini kali pertama saya berdikir barat dengan robot. Kami sempat berlatih sekali sahaja pada malam sebelum persembahan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Persembahan itu turut melibatkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lati, Kelantan, sempena majlis penutup Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan di Ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi 2026 (E-STI), anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di MAEPS, di sini, baru-baru ini.

Menurut Sabri, gabungan seni dan teknologi berupaya menjadi pendekatan menarik untuk mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya, selain membuka ruang kepada mereka meneroka bidang sains dan teknologi.

“Ini sesuatu yang baharu bagi saya. Ia boleh menarik minat anak-anak muda untuk menyelami budaya sambil mempelajari sains dan teknologi.

“Secara tidak langsung, ia membuka peluang kepada semua pelajar. Mereka yang datang untuk seni boleh melihat pelbagai projek sains di sini, manakala yang datang untuk pertandingan sains pula boleh menikmati seni tradisi yang dipersembahkan,” katanya.

Mengulas perbezaan berdikir barat bersama robot berbanding persembahan biasa, Sabri berkata, interaksi spontan yang menjadi antara keistimewaan dikir barat sedikit berbeza apabila berpasangan dengan teknologi robotik.

Katanya, kebiasaannya persembahan dikir barat membolehkan penggiat seni berbalas-balas secara spontan, namun persembahan bersama Nexora memerlukan perancangan lebih awal, termasuk penyediaan lirik.

“Dengan robot, semuanya sudah dirancang, termasuk lirik yang disiapkan lebih awal. Tetapi itu bukanlah kekurangan, kita kena menerima persembahan yang sedikit berbeza.

“Saya seronok dan penonton pun teruja melihat dikir barat dipersembahkan bersama robot,” katanya.

Bagi Sabri, pertembungan seni dan sains bukan sesuatu yang asing, malah kedua-duanya sudah lama saling melengkapi dalam pelbagai bentuk persembahan.

Katanya, penggunaan teknologi seperti mikrofon dan pembesar suara membuktikan unsur sains sudah lama menjadi sebahagian daripada dunia seni, termasuk dalam usaha memastikan suara penggiat seni dapat didengari dengan jelas oleh penonton.

“Sekarang kita guna mikrofon dan pembesar suara. Zaman dahulu pun orang sudah memikirkan bagaimana suara boleh didengari dengan jelas ketika membuat persembahan.

“Pantulan suara itu sendiri ialah satu contoh unsur sains dalam seni,” jelasnya.

Sabri turut berpandangan kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkaya dan menambah baik karya seni, termasuk dalam aspek persembahan.

Dalam masa sama, pelakon itu menegaskan tanggungjawab memelihara dan mengembangkan seni dikir barat perlu dipikul bersama, khususnya oleh penggiat seni yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang berkenaan.

Baginya, melihat murid sekolah rendah didedahkan kepada seni tradisional sejak awal merupakan sesuatu yang membanggakan, kerana merekalah bakal menjadi pewaris budaya pada masa depan.

“Saya bukanlah guru yang mengajar subjek di sekolah tetapi sebagai orang seni saya seronok melihat anak-anak di sekolah rendah sudah diajar tentang budaya dan dikir barat.

“Kalau saya sudah tiada nanti, merekalah yang akan mewarisi kesenian ini. Selagi hayat dikandung badan, saya akan curahkan segala ilmu yang ada kepada generasi akan datang,” katanya.

Selain dikir barat, acara berkenaan turut menampilkan persembahan seni tradisional lain, antaranya Boria dari Pulau Pinang, Tarian Zapin dari Johor dan Tarian Bugang dari Sabah, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian warisan budaya tanah air dalam suasana yang menggabungkan seni, sains dan teknologi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini