Ahmad Zahid, pemimpin tertinggi BN tiba di Istana Hinggap

Ahmad Zahid, pemimpin tertinggi BN tiba di Istana Hinggap

AHMAD Zahid Hamidi melambaikan tangannya kepada pemberita apabila tiba di pekarangan Istana Hinggap, Seremban, hari ini. - UTUSAN / MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pemimpin tertinggi parti tiba di Istana Hinggap di sini bagi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada petang ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO tiba di pekarangan istana berkenaan kira-kira pukul 3 petang tadi.

Selain itu, antara pemimpin yang hadir ialah Timbalan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan sekitar jam 2.45 petang diikuti Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua Penerangan UMNO.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan tiba di Istana Hinggap kira-kira pukul 1.18 petang bagi menghadap Tuanku Muhriz.

Perkembangan itu menarik perhatian susulan kemelut politik negeri ini, khususnya berhubung kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar serta dakwaan peletakan jawatannya yang menjadi perbincangan sejak minggu lalu.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Negeri Sembilan dijangka bakal mempunyai Menteri Besar baharu bagi menggantikan Ismail, dengan kedudukannya difahamkan akan ditentukan minggu ini.

Perkembangan itu susulan pendirian kesemua 24 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dilaporkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ismail.

Sementara itu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata BN menyerahkan sepenuhnya urusan dan kuasa pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini