PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar kegiatan penyeludupan tembakau kunyah dan cerut yang diikrarkan sebagai barangan makanan bagi mengelak pembayaran duti dan cukai dengan nilai keseluruhan hampir RM4 juta.
Kegiatan itu terbongkar selepa sebuah kontena ditahan di Pelabuhan Klang yang dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia Tenggara pada 23 Oktober lalu.
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, tangkapan itu dilakukan oleh pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan berdasarkan maklumat awam.
“Pemeriksaan mendapati kontena berkenaan mengandungi produk tembakau jenis tembakau kunyah dan cerut yang disyaki tidak berkastam.
“Kesemua barangan yang dirampas seberat 5,925 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM358,200,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM3.59 juta.
Beliau berkata, pengimportan produk berkenaan tertakluk kepada keperluan permit import di bawah Butiran 66, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Seorang wakil syarikat pengimport telah dipanggil bagi membantu siasatan yang masih dijalankan. Modus operandi, pihak terbabit dipercayai membuat pengikraran palsu dalam dokumen pengimportan atau Borang Kastam No. 1 dengan mengisytiharkan barangan berkenaan sebagai makanan.
“Tindakan itu dipercayai bertujuan mengelakkan pembayaran duti import dan cukai serta keperluan mendapatkan permit import,”ujarnya.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam atau barang larangan import.
Dalam pada itu, Norizan menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi kegiatan penyeludupan, khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam aktiviti berkenaan kerana kegiatan penyeludupan bukan sahaja menyebabkan kehilangan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran,” katanya. – UTUSAN











