BYD, Sime Motors mulakan pemasangan CKD di Malaysia - Utusan Malaysia

BYD, Sime Motors mulakan pemasangan CKD di Malaysia

JOHARI Abdul Ghani (tengah) bersama Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma (kanan) dan Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan (kiri) pada majlis rasmi pemasangan tempatan BYD Malaysia dan Sime Motors di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: BYD Malaysia memperluas penglibatannya dalam industri pembuatan automotif tempatan menerusi operasi pemasangan kenderaan secara tempatan (CKD) yang dimulakan dengan model pikap BYD SHARK 6 di Kulim, Kedah.

Operasi itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Sime Motors di fasiliti Inokom Corporation (Inokom), sekali gus menandakan perkembangan baharu dalam strategi jangka panjang pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China itu di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kemasukan pemain automotif global seperti BYD bukan sahaja memperkenalkan teknologi baharu, malah merangsang persaingan dan inovasi dalam industri tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan perkembangan industri automotif turut disokong oleh ekosistem pembuatan, pembangunan tenaga kerja mahir serta infrastruktur yang diperlukan bagi mempercepat peralihan kepada kenderaan elektrik.

“Penyediaan kemudahan pengecas EV ultra-pantas juga penting bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap teknologi berkenaan.

“Pembangunan kemudahan dan ekosistem berkenaan penting bagi meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap penggunaan kenderaan elektrik, selain membuka peluang baharu kepada industri automotif tempatan, syarikat perniagaan dan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis permulaan operasi CKD BYD di Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma dan Pengarah Urusan Sime Motors Southeast Asia, Jeffrey Gan.

Sementara itu, Jacob berkata, Malaysia mempunyai potensi besar kepada BYD bukan sahaja sebagai pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) yang berkembang, malah memiliki keupayaan industri automotif dan tenaga kerja mahir untuk menyokong pengembangan perniagaan syarikat itu.

Ujarnya, pelaksanaan pemasangan tempatan berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang BYD di Malaysia yang turut memberi penekanan kepada kerjasama dengan pemain industri domestik.

“Kerjasama ini merangkumi perkongsian teknologi dan kepakaran serta peluang pemindahan pengetahuan dan kemahiran kepada tenaga kerja tempatan.

“Langkah ini bukan hanya mengenai pemasangan kenderaan, tetapi juga usaha untuk membina kerjasama yang lebih rapat dengan industri tempatan, berkongsi teknologi dan kepakaran serta mencipta peluang bagi pemindahan ilmu dan kemahiran,” katanya.

Pemilihan SHARK 6 sebagai model pertama CKD turut memperluas penyertaan BYD dalam segmen pikap pacuan empat roda (4×4), selain membawa teknologi elektrifikasi syarikat itu ke kategori kenderaan berkenaan.

Model itu mula diperkenalkan di Malaysia pada 2025 dan menerima maklum balas positif daripada pelanggan tempatan.

Operasi pemasangan berkenaan menggunakan kemudahan Inokom di Kulim yang dimiliki Sime Motors, dengan sokongan infrastruktur pembuatan, tenaga kerja berpengalaman dan rangkaian pembekal tempatan sedia ada.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, keupayaan pembuatan, kepakaran tenaga kerja dan jaringan pembekal tempatan Sime Motors menjadi asas penting bagi menyokong pelaksanaan kerjasama berkenaan.

“Gabungan keupayaan kedua-dua syarikat berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada rakan industri serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab pembuatan automotif serantau yang berdaya saing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini