LONDON: Kerajaan Parti Buruh kekal komited untuk mengharamkan amalan terapi penukaran orientasi seksual meskipun berdepan desakan yang semakin memuncak supaya rang undang-undang (RUU) berkenaan dipinda atau dibatalkan kerana dibimbangi menyekat kebebasan bersuara.
Menteri Kesaksamaan United Kingdom (UK), Bridget Phillipson menegaskan prinsip di sebalik RUU yang bertujuan melarang sebarang penderaan bagi mengubah orientasi seksual atau identiti jantina seseorang di England dan Wales itu tidak boleh dipersoalkan, selain memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan peranan keibubapaan yang normal.
“Prinsip RUU ini adalah tepat dan atas sebab itulah kami memasukkannya dalam manifesto. Kami memilih untuk menerbitkan draf RUU bagi perbincangan lanjut serta mengalu-alukan semua maklum balas, namun prinsip utamanya jelas bahawa kita tidak sepatutnya melayan golongan LGBT secara kasar dalam masyarakat moden,” katanya.
Draf RUU yang diterbitkan pada Jun lalu itu mencadangkan hukuman denda tanpa had serta penjara sehingga lima tahun terhadap individu yang didapati bersalah menjalankan amalan penukaran tersebut.
Selain itu, mahkamah juga diberi kuasa mengeluarkan perintah perlindungan sebelum kemudaratan serius berlaku sekiranya seseorang individu dikenal pasti berisiko menjadi mangsa, termasuk kemungkinan dibawa ke luar negara.
Bagaimanapun, cadangan perundangan itu mengundang kritikan hebat daripada pemimpin agama serta bekas ketua badan pemantau hak asasi Britain yang menggesa ia digugurkan atas alasan amalan berbahaya sudah sedia termaktub di bawah undang-undang sedia ada, manakala RUU baharu ini berpotensi mengancam hak ibu bapa dan kebebasan beragama.
Usaha kerajaan turut menerima tamparan hebat minggu lalu apabila pakar pediatrik di sebalik kajian perkhidmatan jantina kanak-kanak yang juga ahli Dewan Pertuanan, Hilary Cass bertindak menarik balik sokongannya.
Cass menyifatkan beliau tidak lagi mampu menyokong RUU tersebut tanpa pindaan drastik kerana ia didakwa sudah mula memberi kesan negatif kepada pengamal perubatan.
“Draf RUU ini sudah pun mencetuskan kebimbangan melampau dalam kalangan profesional kesihatan yang takut dituduh melanggar piawaian profesional, walaupun mereka telah menjalankan terapi yang wajar dan beretika,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan jawatankuasa bersama Ahli Parlimen dan Dewan Pertuanan.
Mengulas perkembangan itu, Phillipson berkata, pihaknya menghargai maklum balas Cass dan memandang serius perkara tersebut bagi memastikan penggubalan undang-undang muktamad kelak membolehkan ibu bapa serta pengamal perubatan mengadakan perbincangan secara terbuka dan telus.
Sementara itu, wakil badan kebajikan Galop, Kai O’Doherty menuduh pihak penentang sengaja mencipta senario yang tidak diiktiraf sebagai amalan penukaran, sekali gus mengalihkan perhatian daripada mangsa sebenar yang cuba mendapatkan perlindungan supaya orang lain tidak melalui penderitaan sama. – AGENSI











