Hasil mineral Pahang cecah RM74.39 juta

Hasil mineral Pahang cecah RM74.39 juta

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Industri perlombongan emas muncul sebagai penyumbang terbesar kepada hasil royalti mineral Pahang apabila merekodkan kutipan lebih RM48 juta dan menyumbang sebahagian besar daripada keseluruhan RM74.399 juta hasil royalti mineral negeri.

Jumlah itu meningkat berbanding RM63.467 juta yang dikutip sepanjang tahun lalu, mencerminkan peningkatan hasil daripada aktiviti perlombongan dan pengeluaran mineral di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain emas, hasil royalti mineral negeri turut diperoleh daripada perlombongan bijih besi sebanyak RM20.116 juta, bauksit (RM2.776 juta), bijih timah (RM1.293 juta) dan silika (RM1.540 juta).

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil daripada perlombongan mangan pula berjumlah RM640,000, galena sebanyak RM14,700 manakala kaolin RM8,400.

“Bagi hasil daripada aktiviti perlombongan dan pengeluaran mineral merekodkan sebanyak RM92.441 juta pada 24 November tahun ini berbanding RM80.232 juta pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hasan Omar (PN-Lanchang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Hasan ingin mengetahui jumlah hasil yang diterima kerajaan negeri menerusi aktiviti perlombongan dan pengeluaran mineral bagi tahun lalu sehingga kini, selain jenis mineral yang menjadi penyumbang terbesar serta strategi meningkatkan nilai tambah sumber galian negeri.

Mengulas usaha memperkukuh industri hiliran mineral, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memberi perhatian kepada pembangunan sektor berkenaan bagi meningkatkan nilai tambah sumber mineral tempatan dan menyokong pertumbuhan industri pembuatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri meluluskan cadangan pembangunan kilang pengeluaran aloi mangan di Gebeng dengan nilai pelaburan kira-kira RM1 bilion.

“Cadangan yang telah diluluskan pada tahun ini dijangka mula beroperasi pada 2027 dan berpotensi menyokong rantaian bekalan industri besi dan keluli,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, Pahang Gold Sdn. Bhd., anak syarikat Pahang Mining Corporation, sedang meneroka penghasilan jongkong emas dan barang kemas bagi meningkatkan nilai tambah sumber emas tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini