PETALING JAYA: Pelakon, Julia Farhana Marin tampil menitipkan ucapan penghargaan buat bekas suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz meskipun kisah rumah tangga mereka kini berakhir dengan perceraian.
Reda dengan ketentuan takdir, Julia menyifatkan keputusan untuk berpisah itu merupakan jalan terbaik buat mereka selepas pelbagai usaha mempertahankan bahtera yang dilalui bersama tidak membuahkan hasil.
“Terima kasih seikhlas hati untuk segala tahun yang awak lalui dengan berusaha menjadi suami terbaik buat saya. Saya harap awak tahu bahawa saya juga sudah mencuba sedaya upaya untuk menjadi isteri terbaik buat awak.
“Mungkin tidak semuanya kita lakukan dengan betul dan ada ketikanya kita saling melukai tanpa disengajakan. Namun, di sebalik segala yang berlaku, saya harap awak tidak pernah meragui kesungguhan saya untuk mempertahankan hubungan kita.
“Namun, inilah qada dan qadar, takdir kita. Mungkin sudah begini jalan cerita yang ditentukan buat kita. Walaupun sukar untuk diterima, akhirnya kita sampai ke satu tahap apabila perceraian menjadi satu-satunya jalan untuk kita berdua meneruskan kehidupan,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Menerusi hantaran tersebut, Julia turut berkongsi sebuah foto hitam putih yang memperlihatkan suasana sugul sewaktu mereka berada di bilik bicara sebuah mahkamah.
Dalam masa sama, Julia berharap agar tiada lagi dendam antara mereka, sebaliknya masing-masing dapat meneruskan kehidupan dengan hati yang tenang.
“Saya harap awak memaafkan saya sebagaimana saya sudah berdamai dengan segala yang berlaku dan memaafkan awak. Saya tidak mahu membawa rasa dendam dalam apa jua yang menanti kita selepas ini.
“Saya akan sentiasa bersyukur atas tahun-tahun yang kita lalui bersama, pengalaman yang membentuk diri kita dan pengajaran yang kita peroleh. Tidak semuanya sempurna, namun itu tidak bermakna ia tidak bermakna,” ucapnya.
Meskipun tidak lagi bergelar suami isteri, Julia tetap mendoakan agar Che Hafiz dikurniakan kebahagiaan, kesihatan yang baik serta dipertemukan dengan seseorang yang lebih memahami dan menghargainya.
“Lebih daripada segala-galanya, saya berharap kita berdua menemui ketenangan yang mungkin tidak dapat kita temukan ketika bersama. Usahlah kita kenang masa lalu atau mengingati satu sama lain hanya berdasarkan perkara yang tidak berjalan dengan baik.
“Kita pernah menjadi dua insan yang memilih satu sama lain, membina kehidupan bersama dan benar-benar berusaha. Bagi saya, semua itu wajar dihargai meskipun apa yang kita harapkan kekal selamanya ternyata lebih singkat daripada yang dibayangkan. Saya doakan segala yang terbaik buat awak.
“Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan kisah saya. Semoga Allah mengampunkan segala kekurangan kita, mempermudahkan perjalanan kita, menyembuhkan segala luka yang masih belum sembuh serta kurniakan kebahagiaan buat kita di masa hadapan. Jaga diri baik-baik. Terima kasih atas segala-galanya, Che Hafiz,” ujarnya.
Untuk rekod, Julia dan Dr. Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022. – UTUSAN











