Rasuah berakar umbi, perlu tegas atasi

Rasuah berakar umbi, perlu tegas atasi

ANWAR Ibrahim dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: ‘Di Sebalik Keputusan...’ yang disiarkan serentak menerusi­ Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa saluran media tem­patan lain malam ini.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan rasuah yang sudah berakar umbi dalam sistem pentadbiran negara memerlukan ketegasan dan komitmen berterusan semua pihak untuk membanterasnya tanpa menjadikan populariti sebagai pertimbangan utama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha memerangi rasuah bukan sesuatu yang mudah, malah cabaran dihadapi lebih besar daripada yang dijangkakan.

“Rasuah bagi saya dalam negara ini sudah sistemik. Saya warisi keadaan yang sistemik. Jadi oleh itu kita mesti terus tegas, terus jalan walaupun popular atau tidak, itu soal kedua,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: ‘Di Sebalik Keputusan…’ yang disiarkan serentak menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa saluran media tempatan lain malam ini.

Menurut Anwar, kesedaran mengenai kepentingan integriti perlu dipupuk sejak awal, khususnya dalam kalangan generasi muda yang menjadi harapan negara untuk membawa perubahan.

Katanya, pelbagai program dilaksanakan bagi mendekati golongan itu termasuk menerusi sesi pertemuan di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyemai idealisme berteraskan nilai integriti.

“Ini supaya ada idealisme dan mereka (golongan belia) menjadi harapan kita. Kalau generasi Z atau Y dapat diyakinkan, maka masa depan kita lebih terjamin. Itu harapan saya,” katanya.

Mengulas dakwaan wujud perbezaan layanan dalam tindakan terhadap individu berpengaruh yang dikaitkan dengan rasuah, Anwar menegaskan, beliau tidak akan melindungi sesiapa yang disiasat atau didakwa atas kesalahan berkenaan.

Katanya, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberikan kebebasan menjalankan siasatan tanpa campur tangan mana-mana pihak berkepentingan.

Anwar mengambil contoh bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang turut berdepan tindakan undang-undang berkaitan kes rasuah tanpa campur tangan beliau.

“Saudara bayangkan orang rapat dengan saya itu apabila disiasat, tentu saya tanya apa dia ini.

“Dia beritahu saya tetapi saya kata saya tak campur. Maka dia didakwa. Ada pernah ke kes seperti itu berlaku? Tidak dan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri tahu saya tidak akan pertahankan (mereka yang terlibat rasuah),” katanya.

Sementara itu, menjelang 2027, Anwar berharap setiap rakyat Malaysia dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah masing-masing bagi memastikan pembangunan negara terus berpaksikan prinsip integriti.

Beliau berkata, tanggungjawab membangunkan negara bukan hanya terletak pada bahu pemimpin dan penjawat awam, malah turut digalas mahasiswa serta setiap lapisan masyarakat termasuk institusi keluarga.

Katanya, cabaran yang dihadapi negara tidak seharusnya dilihat dari sudut perbezaan kaum, sebaliknya perlu ditangani bersama dengan memperkukuh prinsip, nilai dan akhlak masyarakat.

“Masalah kita bukan soal kaum. Jangan benci satu sama lain. Masalah kita ini masalah prinsip dan akhlak. Jadi kita perlu baiki bersama, kita bina kekuatan kerana kita punyai sepertimana saya tegaskan, potensi luar biasa untuk mengangkat martabat negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini