PETALING JAYA: Tiada asas untuk kerajaan menaikkan kadar yuran rawatan asas di hospital dan klinik kerajaan memandangkan kenaikan upah rakyat masih belum sepadan dengan pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar bayaran sedia ada perlu dikekalkan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terus terbeban.
“Apa asasnya nak letak RM10? Apa asasnya? Kalau orang itu mampu, okay saya setuju. Orang swasta umpamanya yang mampu, yang pendapatannya tinggi, dia duduk di hospital kerajaan kelas pertama bayarlah lebih… itu mungkin.
“Tetapi untuk membebankan rakyat susah kerana upah itu tidak naik setimpal dengan pertumbuhan ekonomi dan dengan kos walaupun inflasi kita memang rendah, apakah patut kita naikkan cukai ataupun bayaran bagi rakyat biasa? Saya tidak bersedia lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: ‘Di Sebalik Keputusan…’ yang disiarkan serentak menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa saluran media tempatan lain malam ini.
Ketika ini, caj rawatan pesakit luar bersubsidi di hospital dan klinik kesihatan awam di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) ditetapkan pada kadar RM1 bagi rawatan am dan RM5 untuk perkhidmatan pakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor kesihatan kekal sebagai penerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan Madani selepas pendidikan, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan petugas dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam.
Katanya, keputusan kerajaan menamatkan sistem pengambilan doktor kontrak bermula 1 Januari 2027 turut disokong penjimatan berpuluh bilion ringgit hasil penambahbaikan tatakelola serta ketegasan membanteras rasuah dan ketirisan.
“Bila kita ambil keputusan untuk menamatkan doktor kontrak, itu bermakna kita ada peruntukan baharu. Hentikan kerja kontrak-kontrak tipu ini. Saya istilah sakau orang tak suka… ini memang betul sakau.
“Dia tak tahu kita selamatkan berpuluh bilion ringgit kerana tatakelola yang lebih ketat. (Mereka ini) tak ada runding-runding, sapu RM200 juta hingga RM300 juta bawah karpet. Dia mesti (ada) tender. Wang ini kita pulangkan pada rakyat,” katanya.
Menurut Anwar, penjimatan itu turut membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan besar kepada rakyat tanpa perlu menaikkan cukai atau mengurangkan subsidi asas.
Ia termasuk peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM18 bilion untuk pelarasan gaji penjawat awam serta RM40 bilion bagi mengekalkan subsidi minyak.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan keperluan penempatan doktor di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengurangkan pengambilan gula dan melakukan senaman bagi mengekang peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan obesiti. – UTUSAN











