KUALA LUMPUR: Penyatuan Melayu yang kini dibentuk di antara UMNO dan Pas tidak akan mengulang sejarah ‘kerjasama’ menerusi Muafakat Nasional (MN) yang telah pun berkubur.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang malah berkata, penyatuan dua parti utama orang Melayu itu juga akan menjadi lebih kuat terutama bagi berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, kerjasama kedua-duanya juga semakin diterima baik oleh masyarakat Melayu dan ia dibuktikan berdasarkan keputusan siri Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Johor, Negeri Sembilan dan terbaharu di Melaka.
“Kita yakin sebab itu kita buat terus (kerjasama). Insya-Allah. Berdasarkan pengalaman yang lalu, kita pernah bekerjasama (MN). Jadi pengalaman yang lalu, kegagalan jadi pengajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kenyataan beliau itu sekali gus memperlihatkan komitmen Pas mengekalkan persefahaman politik bersama UMNO yang membuahkan hasil dalam tiga siri PRN sebelum ini.
Ia menyusul ketika terdapat gesaan supaya Pas menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Barisan Nasional (BN) juga semakin diterima di empat negeri dikuasai PN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sekali gus membolehkan kerjasama BN-PN dibentuk di negeri-negeri terbabit kelak.
“Tiada masalah pun, insya-Allah. Orang Pas bekerja di kawasan UMNO bertanding, UMNO bekerja di kawasan Pas bertanding,” katanya lagi.
UMNO dan Pas pernah menjalinkan kerjasama pada 14 September 2019 sehingga membentuk MN susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kerjasama berkenaan bertujuan menyatukan kekuatan politik Melayu dan Islam selain membentuk blok pembangkang yang lebih kukuh pada ketika itu.
Bagaimanapun, hubungan kedua-dua parti mula retak susulan perbezaan pendirian politik, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga membawa perpecahan MN apabila UMNO dan Pas memilih haluan politik masing-masing.
UMNO kemudiannya menyertai Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15 manakala Pas memperkukuh kedudukannya menerusi Perikatan Nasional (PN).
Abdul Hadi sebelum ini menegaskan, Pas tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan pihak yang secara terbuka memusuhi Islam dan umatnya.
Kata beliau, Pas berpegang kepada prinsip bahawa kerjasama dengan kumpulan Islam adalah suatu kewajipan manakala kerjasama dengan bukan Islam dibenarkan selagi tidak melanggar batas yang ditetapkan agama.-UTUSAN.










