PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.73 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, sekali gus mengekalkan pulangan atas purata ekuiti (ROE) tahunan sebanyak 11 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, prestasi itu mencerminkan nilai rangkaian OneCIMB serta kemajuan berterusan pelaksanaan strategi Forward30 yang membolehkan kumpulan mengekalkan ROE berdaya tahan itu.
“Kami terus melabur dan mempercepatkan pembangunan empat segmen utama penjanaan pertumbuhan, iaitu pertumbuhan kunci kira-kira yang menguntungkan, pengurusan kekayaan, jualan produk perbendaharaan kepada pelanggan serta pendapatan fi bagi mengekalkan momentum pendapatan.
“Perubahan struktur di seluruh ASEAN membuka peluang yang besar, khususnya menerusi kepelbagaian rantaian bekalan, peningkatan perdagangan dan aliran pembayaran rentas sempadan serta pertambahan kekayaan,” katanya dalam kenyataan.
Prestasi kumpulan turut disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam segmen penjanaan pendapatan, iaitu pertumbuhan kunci kira-kira yang menguntungkan, pengurusan kekayaan (Wealth), jualan produk Perbendaharaan kepada pelanggan serta pendapatan fi.
Bagi tempoh itu, jumlah pendapatan kumpulan berjumlah RM16.39 bilion, merangkumi pendapatan faedah bersih (NII) sebanyak RM11.14 bilion dan pendapatan bukan faedah (NOII) sebanyak RM5.25 bilion.
NII kekal berdaya tahan meskipun margin faedah bersih (NIM) kumpulan menyusut 10 mata asas tahun ke tahun kepada 2.03 peratus, susulan pertumbuhan jumlah aset dan pinjaman masing-masing sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun berdasarkan mata wang malar.
Beliau berkata, kumpulan akan terus kekal fokus untuk memaksimumkan nilai rangkaian OneCIMB dengan memanfaatkan rangkaian perniagaan bersepadu di ASEAN bagi meningkatkan pendapatan rentas sempadan melangkaui pasaran domestik.
“Ekosistem digital kami yang berbeza turut memperkukuh keupayaan untuk meningkatkan hubungan dengan pelanggan dan meluaskan capaian perniagaan.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal komited terhadap pertumbuhan berdisiplin dalam persekitaran ketidaktentuan ekonomi makro.
“Kami akan terus memperkemas portfolio, menyusun semula peruntukan modal kepada peluang yang menawarkan pulangan lebih tinggi serta pertumbuhan yang meningkatkan nilai bagi memenuhi komitmen meningkatkan jumlah pulangan kepada pemegang saham,” katanya.
Dalam pada itu, perbelanjaan operasi menyusut 4.2 peratus tahun ke tahun meskipun Kumpulan menanggung kos transformasi sekali sahaja di Thailand.
Perkembangan itu menyumbang kepada penambahbaikan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) kepada 46.3 peratus, selain membolehkan Kumpulan meneruskan pelaburan dalam teknologi, keupayaan digital dan kecerdasan buatan (AI).
Kualiti aset kekal stabil dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) pada paras terendah pernah dicatatkan iaitu 1.6 peratus, manakala caj kerugian pinjaman berada pada 35 mata asas.
Prestasi itu disokong oleh peruntukan tambahan dan peruntukan kerugian yang mencukupi bagi menghadapi risiko baharu.-UTUSAN











