KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkukuh penyertaan syarikat dan tenaga kerja tempatan dalam industri pusat data bagi memastikan kemasukan pelaburan asing turut memberi manfaat kepada ekonomi negara, khususnya dari segi pemindahan teknologi dan kepakaran.
Pengerusi REHDA Institute, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi destinasi pelaburan asing, sebaliknya perlu memastikan syarikat tempatan turut terlibat dalam rantaian nilai industri berkenaan.
“Selain mempercepatkan proses kelulusan pelaburan, penglibatan syarikat tempatan dalam pembekalan bahan, peralatan dan perkhidmatan perlu diberi perhatian.
“Sebagai contoh, kita boleh membawa masuk pelaburan pusat data ke Malaysia, tetapi jika tenaga kerja, bahan dan peralatan semuanya dibawa dari negara asal pelabur, bagaimana Malaysia mendapat manfaat?
“Kita perlu membawa masuk pemain industri tempatan ke dalam rantaian nilai bagi memastikan pemindahan pengetahuan dan teknologi menjadi sebahagian daripada proses pelaburan itu,” katanya pada sidang media pengumuman penganjuran CEO Series 2027, di sini, semalam.
Jeffrey berkata, kerjasama antara pelabur asing dengan pemain industri tempatan juga berpotensi membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk menjadi rakan pelabur, sekali gus memperoleh akses kepada pengetahuan dan kepakaran baharu.
“Kejayaan menarik pelaburan asing tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai pelaburan diluluskan semata-mata, sebaliknya berdasarkan keupayaan merealisasikan pelaburan itu kepada aktiviti ekonomi sebenar,” ujarnya.
Malaysia merekodkan kira-kira RM350 bilion pelaburan diluluskan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, membabitkan hampir 4,400 projek yang berpotensi mewujudkan lebih 150,000 peluang pekerjaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.
Sementara itu, Pemegang Amanah REHDA Institute, Datuk Seri Dr Michael Yam berkata, perkembangan pesat industri pusat data turut meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang teknikal.
“Sebahagian projek pusat data di negara ini memerlukan kepakaran teknikal yang masih belum dapat dipenuhi sepenuhnya oleh perunding tempatan.
“Keperluan tenaga mahir bukan sahaja membabitkan peringkat pembinaan, malah turut meliputi operasi dan penyelenggaraan pusat data dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, CEO Series 2027 yang memasuki edisi kesembilan dijadualkan berlangsung pada 12 Januari depan di Kuala Lumpur dengan REHDA Institute sebagai penyelaras dan mendapat sokongan 15 persatuan industri, selain dijangka menghimpunkan lebih 550 pemegang taruh sektor awam dan swasta.
Persidangan itu akan membincangkan prospek ekonomi dan kredit Malaysia, Belanjawan 2027 serta daya saing industri.
Ia selain memberi tumpuan kepada kemasukan modal Asia Timur, impak projek RTS Link dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), peluang pelaburan susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta prospek sektor pelancongan dan ekonomi perak.-UTUSAN











